Monday, May 23, 2011

Tanah runtuh Hulu Langat: Sepi selepas 30 minit

Foto
JENAZAH mangsa tanah runtuh dibawa keluar selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, semalam.

Foto
MOHD HARRIS menunjukkan tempat dia tertimbus ketika tanah runtuh di rumah anak yatim.
Mangsa tertimbus takbir sambil minta diselamatkan

AMPANG: “Tolong aku. Allahuakbar! Selamatkan kaki saya, Allah bersama kita – adalah antara laungan yang kedengaran daripada mangsa tertimbus sebelum suasana menjadi sepi kira-kira 30 minit kemudian.

Keadaan di madrasah yang pada mulanya ceria dengan nyanyian nasyid disusuli paluan kompang bertukar dengan jeritan dan laungan sebaik gegaran dirasakan sebelum tanah runtuh.
Mangsa, Mohd Harris Izzudin, 11, yang cedera di kaki kanan dan tangan kiri akibat tersepit berkata, semuanya berlaku terlalu cepat.
“Ketika kejadian, saya di dalam dewan sebelum mendengar jeritan kawan bahawa berlaku tanah runtuh.

“Ketika berusaha menyelamatkan diri, kaki dan tangan saya dihempap batu dan tersepit sebelum dikeluarkan 30 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, semalam.

Mohd Harris yang masih trauma akibat kejadian itu berkata, beliau sedih melihat keadaan rakan yang terperangkap dan menjerit kesakitan serta meminta pertolongan.

“Saya lihat dan dengar dengan jelas, ada yang melaungkan azan, menyebut Allahuakbar dan menjerit meminta diselamatkan.
“Ada yang sebahagian badan sudah tertimbus melambai tangan meminta tolong, namun keadaan menjadi senyap selepas 30 minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Alauddin Safri, 14, yang tersepit tangan ketika mencari adiknya, Mohd Azim, 10, yang hilang berkata beliau diselamatkan 30 minit kemudian.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam), saya dimaklumkan adik meninggal dunia selepas dikeluarkan daripada runtuhan itu jam 5 pagi (semalam),” katanya sambil menitiskan air mata.

Mohd Alauddin berkata, ketika kejadian beliau dan adiknya di dalam dewan menyaksikan latihan nasyid apabila berlaku gegaran diikuti runtuhan tanah.
Katanya, mereka ke madrasah itu setiap hujung minggu sejak empat tahun lalu untuk belajar agama dan al-Quran.

Sementara itu, di IPOH, ibu Zahid Assawal Zamri, 19, yang turut terbunuh dalam tragedi itu, Wan Zarina Mohd Zainuddin, 46, berkata, arwah menyampaikan satu pesanan tetapi beliau tak boleh beritahu kepada media kerana ia terlalu peribadi buat kami sekeluarga.

Wan Zarina berkata, pesanan itu dinyatakan ketika anak sulungnya menghubunginya tiga bulan lalu.

“Terpulang kepada suami (Zamri Mohd Kassim, 48) untuk menunaikan pesanan itu,” katanya sebaik selepas pengebumian jenazah anak tunggal lelakinya itu di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih di Ipoh, semalam. Berita Harian Online | Tanah runtuh Hulu Langat: Sepi selepas 30 minit

No comments:

Post a Comment