Sunday, May 22, 2011

Gali tanah guna tangan


PILU...  mangsa yang selamat sebak melihat jenazah rakan yang terkorban.
PILU... mangsa yang selamat sebak melihat jenazah rakan yang terkorban.

BANTU... antara anak yatim yang berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh.
BANTU... antara anak yatim yang berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh.

HULU LANGAT: Tiga anak yatim, termasuk dua berusia 11 dan 14 tahun, maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal, di sini, semalam.
Lebih tragis, difahamkan setakat jam 7 malam, seramai 14 dikhuatiri masih tertimbus iaitu 11 anak yatim dan tiga penjaga. 
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, enam pelajar dan seorang penjaga yang sudah diselamatkan, cedera dalam kejadian itu.

“Seramai 14 orang (11 pelajar, tiga penjaga) yang masih terperangkap berusia lapan hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut saksi, runtuhan berlaku dua kali dengan kali pertama pada jam 2.15 petang.

Kawasan itu kini dijadikan zon larangan oleh polis dan orang ramai tidak dibenarkan memasukinya berikutan kemungkinan berlaku runtuhan selepas hujan lebat sejak jam 5.30 petang.

Mangsa terbabit dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke tempat kejadian, kira-kira jam 2.30 petang.

Setakat jam 6.30 petang, seorang daripada mangsa yang meninggal dihantar ke Hospital Ampang, dua lagi masih di surau berhampiran tempat kejadian manakala tujuh yang cedera dihantar ke hospital sama, selain Hospital Kajang.

Pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat biarpun dalam keadaan hujan lebat.

Difahamkan, ketika kejadian itu, semua kanak-kanak itu berada di dewan makan rumah anak yatim itu.

Saksi, Pak Mat, 40, berkata ketika kejadian, dia yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian terdengar bunyi runtuhan lalu segera berlari ke situ.

“Sebaik tiba, saya nampak beberapa kanak-kanak tertimbus akibat tanah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya segera gali dengan tangan dan berjaya menarik dua kanak-kanak (yang meninggal).

“Saya kasihan melihat keadaan pelajar berkenaan. Air mata menitis kerana terbayangkan nasib mereka yang masih mentah,” katanya hiba.

Seorang lagi saksi, Sham, 29, berkata sebelum kejadian dia terdengar bunyi paluan kompang dari khemah di kawasan rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon abangnya mengatakan berlaku tanah runtuh di situ.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan tiga pelajar daripada tertimbus. Sebelum diselamatkan, ada pelajar terperangkap dalam runtuhan hingga ke paras pinggang.

“Biarpun mereka cedera, saya lega dapat menyelamatkan mereka. Cuma terkilan masih ramai lagi yang terperangkap,” katanya.

No comments:

Post a Comment