KAJANG – Pengalaman melahir dan membesarkan anak di dalam penjara memberi keinsafan kepada seorang banduan di Penjara Kajang di sini. Menurut Aida (bukan nama sebenar), dia merasa sedih kerana anak lelakinya itu yang kini berumur setahun tidak dapat menjalani hidup seperti kanak-kanak seusianya.
“Saya sesal dengan apa yang berlaku. Saya tidak mahu anak saya kenal keadaan hidup di penjara. “Selepas berumur tiga tahun, dia tidak akan dibenarkan tinggal di sini (penjara) lagi bersama saya. Mengikut undang-undang, hanya anak berusia bawah tiga tahun sahaja dibenarkan,” katanya di sini semalam.
Aida merupakan salah seorang daripada sepuluh banduan wanita yang dipilih untuk bertemu ahli keluarga masing-masing pada Majlis Sambutan Hari Ibu yang diraikan oleh Penjara Kajang bersama Maybank. Turut hadir Pengarah penjara tersebut, Rohana Abdullah dan Ketua Bahagian Sumber Manusia Maybank, Nora Manaf.
Aida yang dipenjarakan selama enam tahun kerana kesalahan mengedar dadah berkata, dia sangat rindukan anak-anak, suami dan keluarganya. “Kalau boleh saya tidak mahu berada di sini lagi. Saya hanya mahu keluar dari sini dan tinggal bersama mereka di luar sana. “Hanya tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya saya kepada mereka. Tapi saya sedar bahawa hukuman perlu dilaksanakan mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment