Wednesday, June 1, 2011

151 calon Thai dijaga 24 jam


Kempen di Thailand dikhuatiri ganas


BANGKOK: Seramai 151 calon pilihan raya umum Thailand mendapatkan perlindungan polis 24 jam berikutan kebimbangan kempen pilihan raya yang sengit mungkin menyebabkan keganasan baru berlaku di negara itu.

Ketua Polis Thailand, Pongsapat Pongcharoean berkata pihaknya sudah mengarahkan dua pegawai polis mengawal setiap calon parti memerintah dan pembangkang sepanjang masa hingga pilihan raya 3 Julai.
Pilihan raya kali ini adalah yang pertama sejak Thailand digegarkan dengan keganasan politik paling buruk tahun lalu, apabila lebih 90 orang terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota polis bersenjata.
Minggu lalu polis berkata, pihaknya sedang memburu 75 pembunuh profesional ‘paling dikehendaki’ di Thailand dan menawarkan wang tunai 100,000 baht (RM10,000) dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pilihan raya.

Seorang anggota politik pembangkang ditembak mati awal April dipercayai serangan bermotif politik.

Pilihan raya Julai ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dengan sekutu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.

Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra adalah calon utama pembangkang dari parti Puea Thai untuk jawatan perdana menteri.
Di SYDNEY, Thaksin menafikan mahu memimpin Thailand sekali lagi dan bertegas bahawa Yingluck bukan bonekanya.

Dalam satu temuramah televisyen dari rumah mewahnya di Dubai, Thaksin memberitahu rancangan Lateline Perbadanan Penyiaran Australia, beliau yakin parti Puea Thai akan memenangi pilihan raya Julai depan. – Agensi
Berita Harian Online | 151 calon Thai dijaga 24 jam

No comments:

Post a Comment