Wednesday, June 1, 2011

Persaingan ulama, profesional



KEADAAN di Dewan Putik dipenuhi perwakilan dan pemerhati serta pemimpin PAS di Muktamar tahunan PAS ke-56 di Pengkalan Chepa, Kelantan, tahun lalu.
KEADAAN di Dewan Putik dipenuhi perwakilan dan pemerhati serta pemimpin PAS di Muktamar tahunan PAS ke-56 di Pengkalan Chepa, Kelantan, tahun lalu.

Pertembungan tiga penjuru rebut Timbalan Presiden PAS Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Menjelang pemilihan tertinggi PAS Jumaat ini, tumpuan kini tertumpu kepada persaingan sengit tiga penjuru bagi jawatan nombor dua parti membabitkan golongan ulama dan profesional.

Selepas jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang selama empat penggal tidak dicabar, umum mahu mengetahui sama ada Nasharudin Mat Isa mampu mempertahankan jawatan itu atau diambil alih Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili kumpulan ulama.
Mungkinkah Nasharudin terpaksa akur dengan gandingan ulama-profesional dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pusat, Mohamad Sabu yang turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini selepas tewas penggal lalu.
Semuanya akan terjawab selepas 1,100 perwakilan PAS dari seluruh negara memilih kepemimpinan parti itu dalam tempoh dua hari lagi, serentak dengan Muktamar Tahunan PAS ke-57 yang akan berlangsung di Markas PAS Taman Melewar selama tiga hari.

Selain itu, persaingan bagi jawatan Naib Presiden turut hangat yang menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang mempertahankan jawatan itu dan terpaksa berhadapan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad; AJK Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Husam Musa serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah. Seramai 53 orang pula akan bertanding merebut tempat dalam AJK Pusat.

Persaingan merebut jawatan di peringkat Dewan Pemuda Khamis ini pula menyaksikan persaingan empat penjuru bagi Timbalan Ketua Pemuda dan satu lawan satu bagi Naib Ketua selepas Nasrudin Hassan kekal menyandang jawatan Ketua Pemuda tanpa bertanding.

Penyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Azman Shafawi akan ditentang Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Firdaus Jaafar; Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat dan Exco Pemuda, Nik Abduh Nik Aziz, manakala bagi jawatan Naib Ketua, AJK Dewan Pemuda, Nasir Zakaria akan berhadapan Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob.
Jawatan Ketua Muslimat turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Nuridah Salleh yang akan ditentang timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusof.

Bagi jawatan Timbalan Ketua AJK Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud akan menentang Wan Hasrina Wan Hassan, manakala jawatan Naib Ketua menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang, Mumtaz Md Nawi; AJK Muslimat, Mastura Mohamad, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Normala Sudirman.

Pemilihan kali ini juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila tiada pertandingan pada pemilihan Dewan Ulama PAS selepas dua tokoh utama sayap itu, Datuk Harun Taib dan timbalannya, Datuk Dr Mahfudz Mohamed menang tanpa bertanding. Berita Harian Online | Persaingan ulama, profesional

No comments:

Post a Comment