ISTANBUL 31 Mei - Beribu-ribu penduduk Turki berhimpun di Dataran Taksim, di sini malam tadi bagi memperingati ulang tahun pertama serangan Israel ke atas flotila bantuan kemanusiaan menuju Genting Gaza pada tahun lalu yang mengakibatkan sembilan aktivis pro-Palestin maut.
Dalam insiden yang dikecam hebat dunia itu, lapan aktivis Turki dan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) terbunuh ketika komando rejim Zionis Israel menyerbu kapal Mavi Marmara yang mengetuai flotila bantuan ke Gaza pada awal pagi 31 Mei 2010.
Penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Palestin dan Turki melaungkan 'Si pembunuh Israel akan dihadapkan ke muka pengadilan' dan pelbagai slogan anti-Israel, antaranya 'Tuhan Maha Besar'.
"Aktivis-aktivis itu dibunuh hanya kerana mereka menyokong perdamaian Palestin. Kami tidak akan lupakan insiden itu," kata aktivis Belgium, Fatima El Mourabiti yang turut berada di atas kapal Mavi Marmara semasa kejadian itu berlaku kepada agensi berita Jerman, dpa.
Perhimpunan dan acara memperingati kejadian berdarah itu dianjurkan badan kebajikan Turki, Yayasan Hak Asasi, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan (IHH), yang bertanggungjawab dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza pada tahun lalu.
Majlis yang turut disertai ucapan, lagu-lagu serta doa yang ditujukan khas kepada sembilan aktivis yang maut itu diadakan bagi meraih sokongan orang ramai berhubung misi penghantaran flotila bantuan kedua ke Gaza yang sedang dirancang.
Pada satu sidang media semalam di atas Mavi Marmara, penganjur berkata, kira-kira 1,500 aktivis dan 15 kapal akan mengambil bahagian dalam misi 'Flotila Kebebasan II- Stay Human II' yang akan belayar akhir bulan depan.
Menurut penganjur, flotila itu akan membawa bekalan perubatan, bahan pembinaan dan barangan lain dalam cubaan kedua mencabar sekatan Israel ke atas Gaza. - dpa
No comments:
Post a Comment