Tuesday, June 7, 2011

Australia henti eksport

SYDNEY - Industri ternakan Australia, semalam, mencadangkan langkah untuk mengurangkan penderitaan lembu hidup yang dieksport ke Indonesia untuk disembelih berikutan kontroversi mengenai perdagangan bernilai A$320 juta (RM1.03 bilion) itu.

Minggu lalu, Canberra terpaksa menghentikan eksport ternakan hidup ke 11 rumah penyembelihan di Indonesia selepas televisyen Australia menyiarkan rakaman lembu dipukul, disebat dan ditendang sebelum disembelih.

Kumpulan Daging dan Ternakan Australia (MLA) mengumumkan, cadangan terbaru itu bermakna hasil ternakan hanya akan dibekalkan kepada 25 rumah penyembelihan Indonesia yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia.

Cadangan itu dibuat selepas rakaman menunjukkan lembu dari Australia dilayan secara kejam di Indonesia sehingga menyebabkan kemarahan penduduk Australia.

Di bawah rancangan MLA, pegawai kebajikan haiwan akan ditempatkan di setiap rumah penyembelihan terlibat untuk memastikan proses itu mengikut piawai antarabangsa.

Australia mengeksport sekurang-kurangnya 500,000 lembu setiap tahun ke Indonesia, mewakili 60 peratus perdagangan ternakan hidup negara itu.
SH

No comments:

Post a Comment