JAKARTA 6 Jun - Pejabat urusan beberapa syarikat media Indonesia hari ini dikejutkan dengan kiriman keranda yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali.
Sebuah daripada keranda itu dikirim kepada Ketua Pegawai Eksekutif akhbar The Jakarta Post, Daniel Rembeth di pejabatnya di Jalan Palmerah Barat, Jakarta Barat di sini.
Rembeth yang menerima 'hadiah' berkenaan yang tertulis Rest in Peace di keranda itu mengakui, sangat terkejut kerana tidak mengetahui apa motif hal itu dilakukan.
"Saya tidak tahu siapa pengirimnya. Kereta ambulans yang mengirim keranda itu juga tidak memiliki identiti seperti kereta ambulans lain," kata beliau.
Selain keranda, pengirim berkenaan juga turut menyelitkan tujuh kuntum bunga mawar serta sekeping kertas tertulis Your next, number 69 kepada Rembeth.
"Saya terkejut mendapat angka giliran bernombor 69," ujarnya lagi.
Selain Rembeth, keranda serupa turut dikirim kepada Pengarah Berita Metro TV, Suryopratomo; Pengarah Kompas.com, Edi Taslim dan Ketua Pengarang stesen televisyenRCTI, Arif Suditomo.
Biarpun tergamam dengan kiriman itu, namun para penerima keranda yang saiznya menyamai saiz tubuh seorang kanak-kanak tidak menolak kemungkinan kiriman itu sebagai strategi pemasaran pengusaha keranda. - Utusan
No comments:
Post a Comment