Tuesday, June 7, 2011

Saya tidak mahu jawatan PM: Abdul Hadi

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.
"Yang penting kita mahu selamatkan negara...sesiapa pun boleh jadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, Mohamed Nazri menegaskan peluang UMNO untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam, sebaliknya memperjuangkan "negara berkebajikan" di mana UMNO sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Abdul Hadi juga menafikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebagai liabiliti kepada parti selepas beliau dipilih oleh perwakilan pada Muktamar PAS ke-57 minggu lalu.

"Bagi UMNO, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan UMNO," katanya.
Abdul Hadi turut menafikan bahawa wujudnya ahli parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu selepas beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini, sebaliknya mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.

Malahan, katanya, konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya. - BERNAMA Berita Harian Online | Saya tidak mahu jawatan PM: Abdul Hadi

No comments:

Post a Comment