Friday, June 10, 2011

Nik Aziz tak halang anak tanding pilihan raya

pix_gal0

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, tidak akan menghalang anaknya, Nik Mohamed Abduh, yang dipilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat baru-baru ini daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, beliau juga menyerahkan kepada parti itu untuk menentukan sama ada anaknya itu akan dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.
“Saya tidak pernah minta dia menjadi ahli politik, politik tidak boleh diajar, itu pilihannya sendiri.
“Dalam soal calon (pilihan raya), biarlah parti yang menentukan dan saya tidak akan menyekatnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya JKR 10, di sini semalam.

Nik Abduh, yang sebelum ini anggota jawatankuasa sayap parti itu menduduki kerusi nombor dua Dewan Pemuda PAS Pusat selepas mendapat 260 undi, menewaskan tiga yang lain iaitu penyandang Azman Shapawi (94 undi), Mohd Firdaus Jaafar (193 undi) dan Ketua Penerangan Pemuda, Suhaizan Kaiat (107 undi).

Nik Aziz juga berharap pemilihan Nik Abduh itu akan menyambung legasinya sebagai pemimpin yang memperjuangkan Islam.

Berhubung isu negara berkebajikan yang menjadi dasar parti itu, beliau berkata, kepemimpinan PAS akan turun padang bagi memberi penjelasan kepada akar umbi berhubung dasar itu.
Beliau berkata, dasar PAS itu sebenarnya bukanlah isu yang mengelirukan ahlinya tetapi ia dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan yang menghadiri Muktamar minggu lalu.

“Islam tetap menjadi dasar PAS, negara berkebajikan adalah program didalamnya bagi menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment