Monday, June 20, 2011

Tiada maahad rekrut militan

YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tiada sekolah agama atau maahad swasta di negara ini merekrut pelajar secara langsung untuk menyertai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Laporan yang diterimanya sehingga kini tidak menjurus kepada pembabitan sekolah secara langsung dengan aktiviti itu, tetapi ia membabitkan individu tertentu yang mungkin bergerak dari dalam untuk menyebarkan pengaruh JI. Menurutnya, walaupun tidak membabitkan institusi atau sekolah agama secara langsung, dipercayai terdapat kelompok tertentu di dalamnya yang berpengaruh sama ada sebagai tenaga pengajar atau kakitangan sekolah cuba menyebarkan fahaman JI di kalangan pelajar. Jamil Khir berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan polis bagi memantau pergerakan setiap sekolah berkenaan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengaruh JI tidak menembusi negara ini. “Kita sentiasa bertukar maklumat dengan pihak polis dalam hal ini dan sentiasa memantau semua sekolah agama daripada dipengaruhi fahaman JI yang berdiri atas nama jihad dan Islam, namun tindakan dan hala tujunya tersasar. “Ia tidak membabitkan mana-mana institusi atau sekolah secara langsung, tetapi dibawa masuk oleh kelompok tertentu yang mahu menyebarkan pengaruh dan fahaman JI di kalangan pelajar. “Dalam hal ini, kita akan sentiasa mengawasi perkembangan isu ini dalam usaha menghalang fahaman itu meresap ke dalam minda pelajar kita,” katanya selepas menyerahkan cek RM205,000 bantuan pembangunan Sekolah Menengah Agama Saadah al-Diniah Sungai Limau Dalam, semalam. Semalam, akhbar tempatan melaporkan sebuah maahad swasta di negara ini dijadikan pusat merekrut pelajar berasaskan ideologi pemimpin militan JI, Abu Bakar Bashir yang dikenali sebagai fahaman Salafiah Jihadiah.


Selain menerapkan fahaman dan ideologi JI, pelajar dikatakan dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina.

Ia dikesan beroperasi selepas maahad itu dipercayai dijadikan lokasi mesyuarat antara Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar bagi menubuhkan JI selepas berlaku krisis kepemimpinan Darul Islam, Anjengan Masduki.

myMetro | Tiada maahad rekrut militan

No comments:

Post a Comment