Wednesday, July 20, 2011

72 anak luar nikah dicatatkan



TAMAN CENDANA – Satu jumlah yang agak memeranjatkan apabila seramai 72 anak luar nikah hasil daripada perkahwinan tidak sempurna dicatatkan di penempatan Rumah Pangsa Taman Cendana.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduknya, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, daripada keseluruhan seramai 72 anak luar nikah yang dikenal pasti, 57 daripadanya perempuan, manakala selebihnya adalah lelaki.

Menurutnya, majoriti anak luar nikah itu berusia seawal bayi yang baru dilahirkan sehingga usia remaja dalam lingkungan 17 tahun hasil bancian yang dibuat Jawatankuasa Penduduk.

“Bagaimanapun majoriti pasangan yang terlibat dalam permasalahan ini melibatkan pasangan luar yang berasal dari merata negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita mengalami kesukaran untuk difahami mengenai perkahwinan adat yang didakwa oleh pasangan dari Sabah dan Sarawak sehingga terpaksa berdepan masalah sijil kelahiran anak-anak,” katanya kepada media, di sini.

Shamsul berkata, kebanyakan anak luar nikah yang dilahirkan disebabkan pasangan terlanjur sebelum berkahwin, selain beberapa kes terpencil termasuk kes haruan makan anak.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya tidak pernah memandang rendah terhadap pasangan atau anak-anak yang terlibat dalam perkahwinan tidak sempurna itu, sebaliknya banyak usaha perbincangan dan pendekatan yang dilakukan.

“Kita banyak menjadi rujukan kepada pasangan yang terlibat, malah ada yang tampil pada saat-saat akhir apabila berdepan masalah sijil kelahiran sehingga anak-anak tidak dapat didaftarkan sekolah.

“Kita menggunakan pendekatan keagamaan melalui Kelas Fiqah dan Kelas Bina Insan yang diadakan di sini, selain membantu mengajak pasangan yang terlibat berdepan de�ngan jabatan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab sepatutnya menguatkuasakan undang-undang yang ada untuk memastikan permasalahan sebegini dapat dibendung.

Menurutnya, banyak peranan yang perlu dimainkan jabatan yang bertanggungjawab dalam perkara itu terutama dalam mendekati pasangan terlibat melalui program kaunseling dan sebagainya.

“Kita tidak mahu anak luar nikah yang menginjak 17 tahun mengambil keputusan meninggalkan keluarga kerana walaupun melalui masalah perkahwinan tidak sempurna, tetapi hubungan kekeluargaan perlu kukuh.

“Kita mohon kerjasama pihak bertanggungjawab supaya boleh menguatkuasakan undang-undang yang ada dan turut sama mencari jalan penyelesaian kerana kita semakin pelik apabila masyarakat kini sudah tidak rasa terhina dengan keaiban yang berlaku terhadap keluarga mereka,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment