TAMAN CENDANA – Sepasang suami isteri baru tersedar pernikahan yang selama ini dianggap sah sehingga melahirkan empat anak sebenarnya tidak sah selepas ditangkap Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).
Roslan, 42, (bukan nama sebenar) mendakwa, dia bersama isteri menjadi mangsa penipuan sindiket nikah apabila pernikahannya yang dibuat secara tergesa-gesa diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kerana ingin menutup malu isteri yang juga saudaranya ketika itu sedang mengandung hasil hubungan haram, dia dengan rela hati bersetuju menjadi ‘pak sanggup’.
“Tanpa berfikir panjang, kami mengambil keputusan bernikah di Batu Pahat secara tergesa-gesa tanpa ada rasa sangsi dengan pernikahan itu kerana mempunyai imam, wali dan saksi yang sah.
“Malah masalah mula timbul apabila anak-anak gagal didaftarkan berbin dan berbintikan saya kerana didakwa pihak berkenaan sijil nikah yang dimiliki adalah palsu,” katanya.
Roslan berkata, masalah bertambah rumit sehingga pelbagai andaian mula timbul apabila anak sulung gagal didaftarkan sekolah kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.
Menurutnya, status perkahwinannya mula terbongkar apabila rumahnya diserbu pihak Jaij dan sijil nikah yang dipertahankannya selama ini sebenarnya palsu.
“Sesiapa pun tidak pernah meminta perkara sebegini berlaku, tetapi saya cukup kecewa dengan pihak yang mengambil kesempatan di atas masalah yang sedang kami hadapi ketika itu.
“Saya nasihatkan kepada pasangan yang ingin berkahwin supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengelakkan menerima nasib seperti saya.
“Walaupun saya sedih kerana anak-anak tidak dapat dibin dan dibintikan saya, tetapi saya akan berusaha mendidik mereka dengan baik terutama dalam memberikan pelajaran yang sempurna agar hidup kami sekeluarga sempurna seperti orang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment