MUAR – Seorang kakitangan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM798 kerana terpedaya dengan tawaran menarik daripada sebuah pusat kecantikan di Batu Pahat pada tahun lalu. Wanita yang mahu dikenali sebagai Asmah, 33, berkata, dia mula mengunjungi premis tersebut bertujuan untuk mendapatkan rawatan kecantikan bagi menghilangkan jeragat di mukanya. Menurutnya, seorang rakan yang mengetahui masalah yang dihadapinya itu telah mengesyorkannya untuk mendapatkan rawatan di pusat kecantikan berkenaan. “Tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya telah berkunjung ke pusat kecantikan itu untuk mendapatkan rawatan. “Saya menjadi lebih yakin apabila ahli keluarga rakannya pernah mendapatkan rawatan di sini memperoleh hasil yang memuaskan di situ,” katanya kepada Sinar Harian. Di pusat kecantikan berkenaan katanya, dia telah ditawarkan menjalani rawatan percubaan dengan harga hanya RM100. “Rawatan yang diberikan sangat memuaskan ditambah pula layanan daripada pekerja-pekerja pusat itu boleh dikatakan terbaik. “Disebabkan berpuas hati dengan rawatan yang diberikan menyebabkan saya tertarik untuk memilih pakej bagi rawatan susulan,” katanya. Asmah berkata, dia memilih pakej rawatan kecantikan berharga RM2,394 untuk 12 kali rawatan termasuk dua rawatan tambahan percuma. “Pakej rawatan ini sangat menarik kerana harganya yang jauh lebih rendah berbanding dengan harga untuk sekali rawatan iaitu RM399. “Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut dan menjelaskan bayaran sebanyak RM2,394 menggunakan kad kredit,” katanya. Namun begitu katanya, kegembiraan yang dirasainya tidak berpanjangan apabila dia ingin membuat temu janji untuk rawatan buat kali kelima. “Ketika itu, saya banyak membuat panggilan telefon untuk temu janji tetapi tidak berjawab, lalu saya nekad untuk pergi ke pusat terbabitnya. “Alangkah terkejutnya apabila mendapati pusat itu telah ditutup dan dikatakan telah berpindah ke tempat lain,” katanya. Pelbagai usaha telah dilakukannya termasuk pergi ke ibu pejabat pusat di Johor Bahru tetapi ianya sudah tidak beroperasi lagi. “Saya turut membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan status premis itu menunjukkan masih lagi beroperasi,” katanya. Asmah akhirnya memfailkan kes tersebut ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 23 Mei lalu bagi mendapatkan semula kerugian yang di�tanggungnya. |
Wednesday, July 20, 2011
Diperdaya pusat kecantikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment