MELBOURNE – Sebuah bot yang sarat dengan pencari suaka telah dipintas di barat laut Australia hari ini dan penumpangnya akan menjadi kumpulan pertama orang asing yang akan dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pendatang antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan hari ini, kerajaan Australia berkata, bot berkenaan yang membawa 54 pencari suaka dan dua anak kapal dipintas HMAS Ararat di barat laut Scott Reef di Laut Timor.
Perjanjian yang dimeterai kerajaan kedua-dua negara Isnin lepas memperuntukkan bahawa Malaysia akan mengambil 800 pencari suaka, manakala Australia pula akan mengambil 4,000 orang pelarian tulen dalam tempoh empat tahun.
Menteri Imigresen, Chris Bowen memberitahu Sky News, pencari suaka itu akan dibawa ke Pulau Krismas sebelum diterbangkan ke Malaysia tiga hari kemudian setelah semua urusan mengenainya selesai dilaksanakan.
Bowen bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kanak-kanak, khususnya yang tidak diiringi waris, yang menjadi penumpang bot itu, akan turut dihantar ke Malaysia. – Bernama
No comments:
Post a Comment