Sunday, July 31, 2011

KDN usir dua individu punyai kaitan dengan LTTE


KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghantar pulang dua individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LLTE), ke Sri Lanka baru-baru ini. 


Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengumumkan perkara itu hari ini, berkata butiran lanjut pengusiran dua yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa itu akan didedahkan esok.
"Dua orang yang mempunyai kaitan dengan LTTE dan ditahan di bawah ISA dan kita sudah usir balik ke Sri Lanka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Sembrong di Nyior hari ini.
Beliau juga berkata, KDN sedang menimbangkan sama ada akan membebaskan atau tidak tujuh anggota Jabatan Imigresen yang sedang ditahan di bawah ISA kerana terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia. 

Ketujuh-tujuh anggota Jabatan Imigresen itu ditahan polis tahun lalu. 

"Saya sedang timbang (untuk membebaskan mereka), mungkin sudah bertaubat dan mahu bersama keluarga sempena Ramadan, tetapi (sama ada) lepas atau tidak ia berdasarkan maklumat polis," katanya. 

Isu terbabit, katanya, adalah berdasarkan kepada keselamatan dan ketenteraman awam, dan sebarang keputusan mengenainya dibuat mengikut pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam. 
Katanya, sindiket pemerdagangan manusia mengaut keuntungan daripada aktiviti haram itu. 

"Jikalau 500,000 warga Bangladesh yang berada secara haram di negara ini membayar RM10,000 setiap seorang kepada sindiket, maka jumlah keseluruhan mencecah RM5 bilion," katanya. 

Mengenai pembebasan enam anggota parti Parti Sosialis Malaysia (PSM) daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat, Hishammuddin berkata, walaupun sudah bebas tetapi polis masih menjalankan siasatan mengenainya. 

"Polis masih menjalankan siasatan (terhadap enam anggota PSM). Perdana Menteri sudah menyatakan apa juga tindakan adalah mengikut Jabatan Peguam Negara. Jika Peguam Negara sudah buat keputusan, saya sendiri terpaksa akur," katanya. - BERNAMA 
http://www.bharian.com.my/bharian

No comments:

Post a Comment