Sunday, July 31, 2011

Jenazah Syed Ahmad selamat dikebumikan



DATIN Hamidah Mohd Noor balu kepada Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, menyiram air mawar ke pusara suaminya selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. - Foto BERNAMA
DATIN Hamidah Mohd Noor balu kepada Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, menyiram air mawar ke pusara suaminya selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jenazah Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, yang meninggal dunia malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, pada 11.30 pagi tadi. 

Syed Ahmad yang menerima anugerah Hadiah Seni Negara pada 1995 dan pelbagai hadiah lain sepanjang pembabitan beliau dalam seni visual, meninggal dunia di kediamannya di Gombak kira-kira 10 malam.

Beliau meninggalkan isteri Datin Halimah Mohd Noor, 69, dan dua anak lelaki iaitu Syed Nurlhaq, 35, dan Syed Nabil, 39.
Ketika ditemui pemberita, Halimah berharap usaha Allahyarham suaminya untuk menaikkan martabat seni negara dapat diteruskan pelbagai pihak.

"Arwah sudah mengutarakan banyak cadangan kepada kerajaan serta pihak lain dalam usaha ikhlas arwah naikkan martabat seni negara... harap cadangan ini dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, seni yang dihasilkan Allahyarham sepanjang hidupnya juga diharap menjadi pemangkin bagi generasi muda di negara ini untuk terus berkarya demi membawa seni ke tahap tertinggi.

Anak bongsu Allahyarham, Syed Nurlhaq pula berkata bapanya meninggal dunia akibat sakit tua.
Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Datuk Mohd Yusof Ahmad, yang turut menziarahi jenazah Allahyarham berkata pemergian Syed Ahmad adalah satu kehilangan besar dalam bidang seni lukis di negara ini.

"Arwah adalah seorang seniman prolifik dalam seni lukis di negara ini, beliau pergi meninggalkan satu legasi dan hasil karya beliau amat diminati dan dicari-cari pegumpul seni lukis di dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Allahyarham bekerjasama dengan Balai Seni Lukis Negara ialah dua tahun lalu untuk menjayakan pameran retrospektif yang mempamerkan lukisan dengan susunan perjalanan seni beliau.

Mohd Yusof berkata, Balai Seni Lukis Negara amat berbangga menyimpan karya Syed Ahmad dan menganggapnya satu amanah bagi memastikan karya Allahyarham dapat dinikmati generasi akan datang.

Pensyarah UiTM, Profesor Madya Jailani Hassan, pula berkata Allahyarham adalah "bapa" kepada semua penggiat seni lukis muda di negara ini.

"Arwah amat mengambil berat mengenai generasi kami... arwah ini penyambung antara penggiat seni lukis generasi terdahulu dengan generasi kita sekarang, arwah adalah mentor saya dan mentor generasi sekarang," katanya yang bertemu Syed Ahmad buat kali terakhir pada tiga hari lalu.

Rakan karib Allahyarham, Raja Ahmad Aminullah, berkata kali terakhir mereka berjumpa ialah pada minggu lalu dan seperti biasa, beliau dan Syed Ahmad berbincang isu mengenai seni budaya di negara ini.

"Arwah adalah seorang yang begitu ghairah dalam hal berkaitan seni di negara ini, arwah selalu memberi pandangan yang mampu memberi manafaat kepada masyarakat, arwah juga seorang yang sanggup bersama susah dan senang dengan kawannya," katanya yang juga Pengarah Galeri RA Fine Arts. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment