Melalui misi sama tahun ini, ‘Flotila Pembebasan II’ yang disertai lebih 10 kapal dari pelbagai negara sekali lagi cuba mencabar sekatan Israel ke atas Genting Gaza.
Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, SHAMSIAH ZULKAFLI dan ADLINAHANI KHALIL bersama Duta Palestin
ke Malaysia, ABDELAZIZ ABOUGHOSH tentang pandangannya berhubung misi kemanusiaan kali ini serta cabaran yang dihadapi konvoi flotila membantu penduduk Gaza.
UTUSAN: Bagaimana pihak tuan melihat usaha masyarakat antarabangsa yang terus cuba mencabar sekatan ke atas Genting Gaza oleh Israel semata-mata bagi menghantar bekalan bantuan kepada penduduk wilayah itu?
ABDELAZIZ: Usaha ini menunjukkan perpaduan antarabangsa dengan rakyat Palestin untuk cuba mencabar sekatan yang dikenakan Israel ke atas genting Gaza yang telah dikuat kuasakan selama tiga tahun. Malangnya Israel tidak memahami suara dan permintaan lebih 100 negara berhubung perkara ini.
Misi ini telah pun menerima ancaman sebelum ia bermula dengan Israel dan sekutu-sekutunya cuba menghalang flotila daripada tiba ke Gaza. Saya sebenarnya tidak nampak kewajaran mengapa misi ini dihalang kerana ia hanya membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.
Apa pandangan tuan dengan kenyataan Israel yang menyatakan rejim mereka akan berusaha sedaya upaya menyekat perjalanan flotila kedua ini daripada cuba sampai ke Gaza. Adakah ia bersifat retorik semata-mata untuk menakutkan aktivis?
ABDELAZIZ: Mengambil kira apa yang berlaku semasa pelayaran misi bantuan kemanusiaan tahun lalu, saya rasa Israel telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menyekat aktivis. Mereka tidak kisah untuk membunuh.
Malah, setiap hari rejim Zionis itu sebenarnya membunuh 10,000 penduduk Palestin. Perkara ini mungkin tidak didedahkan media. Ini sebenarnya yang berlaku kepada rakyat Palestin sejak dulu lagi. Hak kami selalu dinafikan Yahudi.
Pendapat tuan tentang penglibatan Malaysia dalam flotila misi kemanusiaan ini serta sokongan yang tidak putus-putus dari kerajaan Malaysia berhubung isu berkaitan Palestin.
ABDELAZIZ: Sokongan Malaysia kepada Palestin bukan sahaja dari segi kenyataan atau ulasan, tetapi juga secara realiti. Selain bantuan dan sokongan kerajaan, banyak pertubuhan bukan kerajaan tampil membantu rakyat Palestin atas nama kebajikan dan ada antara organisasi ini memang diwujudkan dengan matlamat membantu Palestin.
Sebagai sebuah negara yang menjalin hubungan baik dengan negara lain, Malaysia juga boleh membantu meyakinkan kuasa-kuasa besar agar terus menyokong Palestin pada masa akan datang.
Boleh tuan jelaskan tentang kenyataan yang menyebut Israel sengaja mensabotaj dua daripada flotila terlibat daripada meneruskan pelayaran dari Greece?
ABDELAZIZ: Seperti yang dijelaskan sebelum ini, itu adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi misi bantuan kemanusiaan tersebut ke Gaza. Dengan menghalang aktivis kemanusiaan daripada menghantar bekalan bantuan ke Gaza, rejim itu sebenarnya menafikan satu lagi hak rakyat Palestin iaitu melarang kemasukan rakyat asing untuk bertemu penduduk Gaza.
Perbuatan ini menambahkan lagi sekatan dan halangan yang dilaksanakan Israel sebelum ini yang telah lama menafikan hak penempatan, hak kerakyatan serta pelbagai hak rakyat Palestin.
Bagaimana pula pihak tuan melihat peranan Greece yang melarang ‘Flotila Pembebasan II’ daripada belayar dari pelabuhannya?
ABDELAZIZ: Saya percaya Greece sebenarnya adalah sebuah negara yang juga mendapat arahan supaya bertindak melarang semua flotila itu daripada belayar. Arahan ini datang dari pihak lain atau lebih tepat lagi Israel serta negara-negara sekutunya. Greece juga berdepan dengan masalah mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment