Monday, July 11, 2011

Bantah import lembu Australia



AKTIVIS PETA (Orang bagi Layanan Beretika Terhadap Haiwan) mengenakan sut lembu sambil memegang sepanduk `Lembu Australia Menderita Dalam Kapal Maut’ semasa menunjuk perasaan di Kementerian Luar Indonesia di Jakarta, Jumaat lalu. - AFP


DENPASAR 10 Julai – Bali hari ini memprotes langkah Kerajaan Pusat Indonesia menyambung semula pengimportan lembu dari Australia bermula Oktober ini kerana bilangan lembu di republik itu adalah mencukupi.

Ketua Jabatan Penternakan Wilayah Bali, I Putu Sumantra berkata, Gabenor Bali, Mangku Pastika akan mengirim surat protes kepada Kerajaan Pusat jika import lembu dari Australia disambung semula.

“Bali paling keberatan dengan tindakan ini kerana ia akan memberi kesan kepada harga lembu tempatan,” katanya ketika ditanya berhubung berita yang menyatakan Indonesia akan menyambung semula import lembu sebanyak 180,000 ekor dari Australia pada Oktober ini.

Menurutnya, Indonesia kini mempunyai lembu ternak kira-kira 14.4 juta ekor, iaitu terbesar di rantau ini dan cukup untuk menampung keperluan domestik negara ini.

“Jakarta perlulah mengarahkan penternak berpotensi tempatan yang terdapat di daerah masing-masing untuk memanfaatkan peluang ini, sebelum membuat keputusan untuk menyambung semula import lembu Australia,” ujarnya.

Putu berkata, penternak lembu di Bali sangat gembira dengan penghentian import ini kerana ia menyebabkan harga lembu tempatan melonjak naik, sekali gus membolehkan petani tempatan menerima harga yang berpatutan.

Katanya, sebelum import lembu dari Australia dihentikan, harga lembu tempatan hanya dijual antara 16,000 rupiah (RM5.63) hingga 17,000 rupiah (RM5.98) sekilogram, tetapi kini harganya naik kepada 22,000 rupiah (RM7.74) hingga 23,000 rupiah (RM8.09) sekilogram.

Beliau turut menegaskan, masalah bekalan tidak perlu dibimbangkan kerana selama ini lembu Bali telah banyak dihantar ke luar pulau ini, termasuk ke Jakarta dan Jawa Barat bagi memenuhi permintaan di bandar itu.

“Jika import lembu Australia disambung semula Oktober ini, harga lembu tempatan bakal jatuh dan secara langsung akan menjejaskan kehidupan petani,” ujarnya. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment