Monday, July 11, 2011

Jari anak kebiruan

MACHANG - Hati ayah dan ibu mana yang tidak sedih dan kecewa apabila anak yang dilahirkan sempurna tiba-tiba kehilangan jari satu persatu akibat kelalaian orang lain.

Pelbagai perkara terpaksa difikirkan pasangan suami isteri, Ismail Lee, 30, dan Zuhariana Baharum, 30, terutama masa depan anak perempuan mereka itu.

Mereka mendakwa, tangan kiri Nur Ayreen Imanie, 6 bulan, menjadi hitam dan mengecut ketika berada di sebuah hospital di Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan apabila mengalami masalah pernafasan.

Ismail yang berasal dari kampung Tualang Kelikir dekat sini berkata, pada mulanya tangan kiri anaknya berubah menjadi hitam dan kebiru-biruan dari paras siku hingga ke jari dan apabila doktor menjalankan ujian imbasan, doktor mengesahkan ada saluran darah tersumbat pada bahagian bekas suntikan.

Katanya, doktor kemudiannya bertindak memberikan ubat pencair darah sebagai tindakan awal namun tidak berhasil malah semakin parah.

“Tangan anak saya semakin teruk pada keesokannya dan mula mengecut, namun tiada tindakan yang diambil oleh doktor bagi mengatasinya, hanya tunggu dan lihat.

“Selepas beberapa hari, baru doktor cuba berbuat sesuatu namun tidak berjaya dan memberitahu kami, sudah tiada harapan bagi menyelamatkannya. Sebagai ibu bapa, perkataan tersebut umpama batu besar yang menghempap kepala kami. Kenapa selepas beberapa hari baru mahu mengambil tindakan susulan, kenapa tidak serta-merta.

“Kami sedar ini semua adalah dugaan dan takdir dari Allah, namun apa yang dikesalkan adalah tindakan yang dilakukan pihak hospital dalam menangani masalah kesihatan anak saya. Dia mengalami masalah pernafasan tetapi apabila keluar hospital dia bukan hanya terpaksa ditebuk pada leher, tetapi juga kehilangan jari. Tiga jarinya sudah gugur dan dua yang lain juga sudah tiada harapan,” katanya sebak.

Ismail berkata, selain masalah kesihatan anaknya, dia dan keluarga juga menghadapi pelbagai masalah lain akibat kejadian tersebut, termasuk masalah kewangan.

Katanya, dia yang bekerja di Petaling Jaya terpaksa memilih untuk berhenti apabila selalu bercuti untuk balik ke kampung bagi mendapatkan rawatan anaknya.

Menurutnya, dia sekeluarga terpaksa berulang alik setiap minggu ke Kampung Tualang Kelikir apabila anaknya terpaksa ditinggalkan kepada mertuanya bagi memastikan Nur Ayreen Imanie mendapat rawatan seperti yang disyorkan oleh hospital.

“Saya difahamkan pihak hospital telah menjalankan siasatan bagi kes ini dan memberitahu pihaknya tidak bersalah dalam hal ini dan kami menunggu siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan pula.

“Kami bingung dan kehilangan punca, macam-macam yang terpaksa difikirkan, kos rawatan yang terpaksa ditanggung, masa depan anak saya dan juga kedua mertua saya yang tidak dapat bekerja apabila terpaksa menjaga Nur Ayreen Imanie.

"Saya juga tidak mahu orang lain menerima nasib seperti kami ini. Selepas kejadian itu anak saya dirujuk ke sebuah hospital universiti dan pembedahan segera dijalankan oleh mereka bagi membantu anak saya namun jarinya tetap tidak dapat diselamatkan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment