Sunday, August 7, 2011

Air mata berlinang dengar rintihan anak


MAZLINA  bersama Athirah mengenang nasib mereka selepas   Mohd Nazarrudin diculik sejak 8 Mei lalu oleh kumpulan penculik di Filipina.
MAZLINA bersama Athirah mengenang nasib mereka selepas Mohd Nazarrudin diculik sejak 8 Mei lalu oleh kumpulan penculik di Filipina.

Bekas isteri mangsa culik buntu fikir kebajikan keluarga

KUALA LUMPUR: Hanya linangan air mata menemani Mazlina Mohamad, 38, setiap kali anak kecilnya, Nur Athirah Mohd Nazaruddin, 4, bertanya mengapa bapanya tiada bersama untuk berbuka puasa dengan mereka, malah masih belum pulang sejak awal Mei lalu.

Bagai jatuh ditimpa tangga, bekas isteri kepada penganggur, Mohd Nazarrudin Saidin yang kini dijadikan tebusan kumpulan penculik di selatan Filipina itu sudah tidak lagi dapat menjual kuih bagi menyara enam anaknya.
“Memang ada yang bertanya mengapa saya perlu bersusah payah kerana sudah bercerai. Athirah anak saya juga. Saya terpaksa menyara mereka terutama sewaktu bekas suami tiada. Keadaan makin buruk kerana saya tidak lagi dapat menjual kuih.
“Sebelum ini saya menumpang tapak berniaga dengan keluarga bekas suami yang berniaga nasi lemak pada sebelah pagi, sekarang mereka berniaga di bazar Ramadan dan saya pula tidak sempat untuk melayan kerenah anak-anak sambil membuat kuih,” katanya kepada Berita Minggu baru-baru ini.

Mohd Nazarrudin, nekad meletak jawatan sebagai pemandu lori untuk menjadi orang tengah dalam urus niaga cicak tokek atau gecko sebelum dia ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina 8 Mei lalu.

Laporan awal menyatakan kumpulan penculik disyaki mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf serta terbabit dalam keganasan dan menculik demi mendapatkan wang, menuntut wang tebusan sebanyak RM5.6 juta.

Mazlina juga amat berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pusat Zakat Selangor segera memproses permohonan bantuannya lebih-lebih lagi Aidilfitri semakin hampir.
“Saya mendapat surat daripada JKM menyatakan mereka bersetuju memberikan bantuan bulanan tetapi sehingga kini saya masih belum menerima pengesahan atau bantuan berkenaan. Bagi kami sekeluarga, Ramadan dan Aidilfitri sudah tiada maknanya, tiada serinya kerana pelbagai penderitaan terpaksa diharungi,” katanya.

Bapa Mohd Nazarrudin, Saidin Abdul Aziz sebelum ini menyatakan, mereka tidak berupaya menyediakan wang tebusan seperti diminta kerana hidup seumpama kais pagi makan pagi saja.

“Usahkan berjuta-juta, nak cari seratus dua sebulan pun sukar buat kami. Kami berharap kumpulan penculik di Filipina dapat menimbangkan semangat persaudaraan sesama Islam sempena kesucian Ramadan dengan membebaskan Mohd Nazarrudin tanpa syarat.

“Dia pun bukannya berduit ketika ke sana. Dia pergi kerana terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia boleh mendapat untung lumayan andai memiliki cicak tokek. Bila ini berlaku, dia dan kami benar-benar tersepit,” katanya.

Dua minggu lalu, kumpulan penculik itu menuntut wang tebusan segera dibayar dan mengugut mahu menyembelih Mohd Nazarrudin andai tuntutan itu tidak dipenuhi. bharian

No comments:

Post a Comment