Sunday, August 7, 2011

ketagih berhutang


BEIJING: Media China menyelar sikap AS sebagai “ketagih berhutang” selepas Washington mengambil tindakan mengejut menurunkan tahap status ekonominya, semalam.
Dalam komentar tajamnya, agensi berita Xinhua berkata, sebagai rakan dagang utama AS, kini Beijing “berhak” menuntut Washington menguruskan masalah struktur hutang semasa, selain memastikan aset China terjamin.

Penurunan status AS itu berlaku kali pertama dalam sejarah dan Beijing menganggap Washington mesti menerima hakikat pahit bahawa masa gemilang mereka kini berakhir.

“Untuk memulihkan ketagihan kepada amalan berhutang, AS perlu mengukuhkan semula prinsip bahawa seseorang mesti hidup mengikut kemampuan,” kata agensi berita itu.

Sementara itu, pegawai Jepun - rakan dagang kedua terbesar AS - memberi reaksi lebih berhati-hati dengan menyatakan keyakinan mereka terhadap Perbendaharaan “tidak terjejas.” Australia dan Korea Selatan pula mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak memberikan reaksi berlebihan kepada perkembangan terbaru kegawatan ekonomi AS itu.

India pula menganggap perkembangan terbaru itu sebagai situasi “mengerikan.” Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee, berkata New Delhi akan menganalisis situasi itu sebelum membuat komen lanjut.


“Ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Firma Standard & Poor (S&P) menurunkan pengiktirafan terhadap ekonomi AS daripada AAA (status tertinggi) kepada AA+, semalam.
Menurut firma itu, pegawai AS kini kurang berkemampuan mengekang defisit besar kewangan serta bebanan hutang ditanggung negara itu.

S&P juga memberi amaran, status itu boleh terus merosot dalam tempoh dua tahun jika tiada sebarang kemajuan dibuat Washington bagi mengurangkan jurang bajet kerajaan. - AFPhmetro

No comments:

Post a Comment