NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan. |
Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema
SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.
Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal.
“Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.
“Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.
“Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.
Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.
Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.
“Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.
“Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan,” katanya. bharian
No comments:
Post a Comment