Sunday, August 7, 2011

Rugi RM1.2 juta akibat bena perang


JOHARI (dua dari kanan) meneliti padi yang rosak akibat serangan bena perang ketika meninjau sawah padi di Kampung Pida 3 1/2, Tunjang, Jitra semalam.


JITRA - Lebih 200 pesawah mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta apabila seluas 211 hektar sawah padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis rosak akibat diserang makhluk perosak yang dikenali sebagai bena perang.
Kawasan yang dikesan terjejas melibatkan empat wilayah MADA iaitu Kangar, Perlis dan tiga di Kedah iaitu Jitra, Pendang dan Kota Sarang Semut.
Luas kawasan tanaman padi di MADA adalah 96,558 hektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom yang melakukan lawatan ke kawasan sawah padi di Kampung Pida 3 1/2, Tunjang di sini semalam berkata, seluas 211 hektar sawah padi di empat wilayah MADA rosak akibat bena perang.
"Kerosakan akibat bena perang ini melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta dan ia menjejaskan pendapatan petani di empat wilayah dalam MADA," katanya.
Kata beliau, penggunaan racun secara berlebihan mungkin menjadi penyebab sawah padi diserang bena perang.
Jelas beliau, ia berlaku apabila racun berlebihan membunuh sahabat ladang seperti labah-labah yang memakan bena perang seterusnya menyebabkan bilangan bena perang bertambah dan menyerang pokok padi.
Menurutnya, para petani sepatutnya menggunakan kapasiti racun mengikut ukuran yang telah ditetapkan MADA.
"Apa yang boleh kita buat sekarang adalah menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut untuk mencari jalan bagi mengelakkan masalah serupa berulang pada musim padi akan datang," tambahnya.
Sementara itu, seorang petani, Azmi Ali, 63, berkata, sebanyak satu hektar daripada dua hektar sawah padinya rosak diserang bena perang dengan anggaran kerugian RM5,000.
Katanya, sawah menjadi kering dalam masa 10 hari selepas diserang bena perang dan dia mungkin hanya mendapat hasil padi sekitar RM10,000 selepas ditolak padi rosak.
Sulaiman Puteh, 59, pula terkilan kerana separuh daripada 1.4 hektar sawah padinya rosak akibat serangan makhluk perosak itu dengan anggaran kerugian lebih RM5,000.
"Serangan ini amat cepat dan jika populasinya bertambah serta dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan petak sawah kering dengan cepat dan mengakibatkan padi kuning serta kering," jelasnya.kosmo

No comments:

Post a Comment