Friday, August 5, 2011

AS, PBB mangsa risikan siber asing

WASHINGTON: Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kontraktor pertahanan dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menjadi sasaran kempen perisikan siber global, kata sebuah firma keselamatan komputer semalam.
China dilihat sebagai pihak berkemungkinan besar terbabit.

Firma McAfee berkata, mereka mengenal pasti 72 mangsa di 14 negara yang menjadi sasaran penggodam canggih dalam kempen digelar Operasi Shady RAT.

Kegiatan itu dikesan sekurang-kurangnya sejak 2006.

Naib Presiden (Penyelidikan Ancaman) McAfee, Dmitri Alperovitch, berkata kempen lima tahun itu didalangi satu “pihak khusus”, tetapi enggan mendedahkan identiti negara terbabit.

“Antara pihak yang diserang termasuk kerajaan Kanada, India, Korea Selatan, Taiwan, AS dan Vietnam,” katanya.


Tidak terkecuali, makmal penyelidikan Jabatan Tenaga AS dan lebih 10 kontraktor pertahanan negara berkenaan.

Kata Alperovitch, rangkaian komputer PBB, organisasi Asean, IOC dan Agensi Antidadah Dunia yang berpangkalan di Montreal turut diceroboh.
Dalam sidang media semalam, Alperovitch berkata, pencerobohan ke atas kontraktor keselamatan AS disasarkan kepada sistem teknologi ketenteraan sensitif.

“McAfee memaklumkan pihak berkuasa mengenai perisikan itu, memberi taklimat kepada Rumah Putih dan anggota Kongres AS, selain bekerjasama dengan sebahagian agensi yang terbabit untuk memulihkan keadaan,” katanya.

Menurut Alperovitch, dalang kegiatan itu bukan saja merisik untuk mendapatkan keuntungan ekonomi, malah membabitkan aspek politik dan ketenteraan.

“Adalah jelas ia didalangi sebuah negara, tetapi kami tidak menuding jari kepada sesiapa,” katanya.

Pakar keselamatan siber di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, James Lewis, berkata bukti yang ada mungkin tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang, tetapi mengesyaki ia didalangi China.

“Anda boleh melihat sekurang-kurangnya tiga program dijalankan China hampir menyamai dilakukan pihak yang diintip,” katanya. Jun lalu, Google berkata, satu kempen perisikan siber berasal dari China mensasarkan akaun Gmail pegawai kanan AS, wartawan dan aktivis politik China.

Februari lalu, McAfee menyatakan, penggodam dari China dikesan menceroboh rangkaian komputer syarikat minyak global bagi mendapatkan pelbagai dokumen rahsia, termasuk membabitkan kewangan. - AFPhmetro

No comments:

Post a Comment