PULAU CHRISTMAS 4 Ogos - Empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki adalah antara 54 pencari suaka politik yang tiba di pulau ini dan bakal menjadi kumpulan pertama 'orang hanyut' dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pendatang antara kerajaan Australia dengan Kuala Lumpur.
Kawalan keselamatan ketat diadakan semasa kumpulan itu tiba di kawasan penempatan penduduk Flying Fish Cove di Pulau Christmas hari ini selepas bot mereka dipintas pada Ahad lalu.
Pegawai kastam menaiki bot kerajaan, Oceanic Protector untuk mengiringi kumpulan tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada warga Afghanistan dan selainnya dari Pakistan ke pantai dengan menaiki tongkang.
Pasukan Polis Persekutuan Australia ditempatkan di sepanjang jalan ke pusat tahanan sementara tongkang pertama membawa pencari suaka sampai di jeti sejurus sebelum 9 pagi (10 pagi waktu Malaysia).
Mereka dibawa dengan bas ke pusat tahanan di Phosphate Hill dan diberitahu mereka akan dihantar ke Malaysia.
Mengikut perjanjian pertukaran pendatang antara Canberra dengan Kuala Lumpur, Australia menghantar 800 pencari suaka ke Malaysia dan menerima 4,000 pelarian yang sudah diproses dari Malaysia.
Australia merancang untuk memproses dan mengusir pencari suaka dalam tempoh 72 jam selepas ketibaan mereka di negara ini walaupun kelompok pertama mungkin mengambil masa lebih lama.
Antara mereka ialah empat wanita dan seorang budak lelaki yang dipercayai berumur sekitar enam tahun.
Isu mengenai layanan terhadap kanak-kanak terbukti mencetuskan kontroversi.
Akhbar Australia sebelum ini melaporkan, penyeludup manusia akan cuba mengeksploitasi kelemahan dalam perjanjian tersebut dengan memberitahu bakal 'orang hanyut' bahawa kanak-kanak yang tidak ditemani orang dewasa tidak akan dihantar ke Malaysia.
Menteri Imigresen, Chris Bowen berkata, 'pengecualian menyeluruh' yang akan menghalang pencari suaka daripada dihantar ke Malaysia tidak akan diberikan.
Bagaimanapun, penapisan pada tahap tertentu dijangka dilakukan dengan tujuan untuk melindungi pencari suaka yang terdedah kepada bahaya, seperti wanita dan kanak-kanak, daripada dihantar ke Malaysia. - Agensiutusan
No comments:
Post a Comment