Friday, August 5, 2011

Dicadang beli tanah Pulau Indah



LIONG SIK (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, kerajaan dicadang membeli tanah seluas 830 ekar (332 hektar) di Lot 67894 Pulau Indah, Klang dan disewakan kembali kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berikutan kedudukan kewangan LPK tidak kukuh untuk membuat pembelian terus.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor (gambar) berkata, walaupun kerajaan memberi subsidi sebanyak 50 peratus kepada LPK untuk membeli tanah itu, agensi terbabit masih lagi berada dalam keadaan defisit.
Abdul Rahman semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, perkara itu terkandung dalam ringkasan melalui memorandum yang dihantarnya kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.
Menurut saksi pendakwaan keempat itu, cadangan berkenaan kemudian dibawa ke perhatian Liong Sik dan jika mendapat persetujuan beliau, ia akan dibawa pula kepada Kabinet untuk kelulusan.
Terdahulu, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) supaya membuat penilaian terhadap kadar tanah tersebut apabila Kuala Dimensi Sdn. Bhd (KDSB) mahu menjualnya kepada Kementerian Pengangkutan pada harga RM28 kaki persegi.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud sedikit perbezaan pendapat semasa mesyuarat diadakan antara pihak kementerian dan KDSB berhubung pengiraan dalam penilaian kadar tanah serta terma-terma pembelian.

No comments:

Post a Comment