Monday, August 22, 2011

Cemburu motif lelaki disimbah asid di Wisma Bumi Raya

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti unsur cemburu sebagai motif seorang lelaki disimbah asid di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata perkara itu dirumuskan hasil soal siasat terhadap rakan mangsa yang ditahan Sabtu lalu dan kini direman lima hari sejak semalam.
"Tangkapan membabitkan rakan mangsa yang turut berada di dalam kereta terbabit. Motif dipercayai ada kaitan dengan cemburu dengan kekasih," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat, di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, penahanan lelaki berusia 28 tahun yang mengenali mangsa itu dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes simbah asid yang berlaku di Jalan Raja Laut terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Rafie Abdul Latif, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya di sini.

Lelaki itu dikatakan membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Mengulas kejadian simbah asid yang banyak dilapor kebelakangan ini, Khalid berkata, polis memerlukan masa untuk menyelesaikan kes yang tidak mempunyai motif tertentu.
"Dalam lebih 20 kes penyimbahan cecair yang sedikit masa dahulu gemparkan kita...orang macam itu tak betul, ikut suka hati dia nak simbah sesiapa. Itu makan masa sedikit kita nak kenal pasti suspek," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, polis sentiasa mengalu-alukan langkah pihak berkuasa tempatan untuk memasang kamera di di kawasan tertentu bagi mencegah jenayah, contohnya seperti kes simbah asid itu. - BERNAMA bharian

No comments:

Post a Comment