Malah mereka menjalani kehidupan seperti biasa bagaikan tidak ada apa yang berlaku. Lebih menghairankan ulat bulu ini hanya muncul pada bulan puasa di bazar Ramadan.
Bagi mendapat penjela-san mengenai perkara ini, Sinar Harian menemubual seorang peniaga, Shuhada Harun, 23 di Bazar Ramadan Pekan Batu Enam, di sini.
Katanya, ulat bulu turut dikenal sebagai tukir merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung beras pulut biasa dan pulut hitam.
“Tepung beras dicampur sedikit air bagi membentuk doh dan dibentuk seperti ulat bulu, kemudian dimasukkan dalam air mendidih.
“Apabila tepung tadi timbul maka ia menandakan telah masak, proses ini sama seperti membuat kuih buah melaka dan puteri mandi,” katanya.
Selepas masak, kata Shuhada, kuih ini digaul dengan kelapa parut yang telah dicampur gula dan garam.
“Sebagai hiasan bolehlah ditabur beras goreng di atasnya, rupanya yang mirip ulat bulu inilah maka kuih ini dipanggil sebagai ulat bulu,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Safinah Saari, 24 berkata, kuih ulat bulu memang laris dijual pada bulan puasa kerana keunikan dan keenakan rasanya.
Katanya, kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat dan warna aslinya, iaitu putih.
“Kuih tradisional ini digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat dan hanya didapati pada Ramadan sahaja, jika pada hari biasa ia tidak dijual,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment