Monday, August 22, 2011

Israel semakin terpinggir



BAITULMAQDIS - Rejim Israel sebelum ini menjangkakan krisis diplomatik besar akan berlaku September depan, iaitu apabila Palestin memohon pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membentuk negara merdeka tetapi nampaknya masalah datang lebih awal, menjadikan rejim itu lebih terpinggir di Timur Tengah.

Keputusan Mesir kelmarin untuk memanggil pulang dutanya ke Israel menandakan rejim Zionis kehilangan wakil negara Arab terakhir di Tel Aviv sekali gus memburukkan hubungan kedua negara yang sudah mula goyah sejak penggulingan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari lalu.

Ketegangan tercetus awal minggu lalu selepas tentera Israel bertindak biadap menembak mati lima tentera Mesir semasa askar rejim bertempur dengan pejuang Palestin yang didakwa membunuh lapan rakyat Israel di sempadan Gaza-Mesir.

Mesir akan mengadakan penyiasatan bersama mengenai insiden itu dengan Israel selepas rejim itu menyuarakan kekesalan terhadap insiden tersebut, respons yang dianggap Kaherah sebagai tidak mencukupi kerana pembunuhan pasukan keselamatan Mesir itu mencabuli perjanjian damai 1979 antara kedua negara.

Pertelingkahan Mesir-Israel berlaku hanya beberapa hari selepas Israel dan bekas sekutu kuatnya, Turki sekali lagi bertengkar berikutan kedegilan Tel Aviv enggan memohon maaf selepas membunuh sembilan rakyat Turki dalam serangan ganas terhadap konvoi kemanusiaan ke Gaza, Mei tahun lalu.

“Mesir cuba mengajar Israel dengan mengikut langkah sama seperti Turki dan Israel perlu belajar bahawa ia kini berhadapan dengan kerajaan Timur Tengah yang berlainan dengan kerajaan sebelum ini,” menurut Uzi Rabi, pakar Timur Tengah di Tel Aviv.SH

No comments:

Post a Comment