Tuesday, August 16, 2011

Polis bimbang keselamatan dan nyawa Muhammad Nazaruddin

JAKARTA 15 Ogos - Bimbang keselamatan dan nyawa Muhammad Nazaruddin terancam, polis Indonesia memeriksa dengan rapi makanan dan minuman yang disediakan kepada suspek utama skandal rasuah berprofil tinggi itu.
Pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah penjagaan dan kawalan kerana bimbang ada pihak cuba membunuh bekas bendahari Parti Demokrat itu dengan meracuninya.
“Kita tidak mahu berlaku makanan yang tidak sihat atau yang sengaja dibubuh racun yang boleh menggugat keselamatan suspek,” kata jurucakap polis Indonesia, Inspektor Jeneral Anton Bachrul Alam, di sini hari ini.
Menurutnya, setiap makanan Nazaruddin yang kini ditahan di Markas Komando Brimob akan diperiksa terlebih dahulu sebelum diberikan kepadanya.
Sementara itu, ahli Parti Demokrat, M. Nasir menyuarakan kebimbangannya dengan keadaan sepupunya, Nazaruddin yang kini ditahan di penjara.
Menurut Nasir, pada saat ini, keadaan kesihatan Nazaruddin terganggu.
“Nazaruddin berada dalam keadaan tertekan. Dia juga kebingungan dan ketakutan. Sebagai ahli keluarga, saya sangat khuatir dengan keadaannya
“Kelmarin, dia minta untuk berjumpa doktor. Sebaik-baik saja doktor tiba, Nazaruddin takut untuk bertemu doktor itu. Bila diberikan makanan, Nazaruddin juga takut menerima makanan itu,” kata M. Nasir yang berkesempatan bertemu Nazaruddin ketika sepupunya itu dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia, semalam.
Nazaruddin yang menjadi buruan KPK selama 75 hari menjadi tumpuan di Indonesia apabila didakwa terlibat dalam skandal rasuah berhubung projek pembinaan perkampungan Sukan SEA di Palembang untuk kegunaan temasya sukan itu pada November ini.
Suspek berusia 35 tahun itu yang melarikan diri pada 23 Mei lalu ke Singapura dan tidak muncul sejak itu diberkas Interpol di Cartagena, Colombia pada 7 Ogos lalu.
Semasa dalam pelarian, Nazaruddin beberapa kali mengirim mesej melalui telefon bimbit Blackberry kepada media tempatan menuduh beberapa pemimpin Parti Demokrat (parti pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono) turut terlibat dalam kes rasuah berkenaan. – Utusan

No comments:

Post a Comment