Sunday, August 14, 2011

Gerakan Cegah Murtad buat laporan polis

SHAH ALAM: Gabungan Gerakan Cegah Murtad (GCM) akan membuat laporan polis berhubung isu memurtadkan umat Islam di Selangor di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) negeri itu bermula jam 10 pagi, Selasa ini.
Gabungan mewakili hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menegaskan, ia sebagai mewakili suara umat Islam yang rata-rata kesal dengan campur tangan pihak tertentu dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, pada malam 3 Ogos lalu.

Jurucakapnya, Hamidzun Khairuddin berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sepatutnya bebas melaksanakan undang-undang berkaitan agama Islam di negeri itu, selaras dengan status Malaysia sebagai negara Islam.

“Kita sudah bermesyuarat dan menyusun ahli gabungan untuk membuat laporan polis di setiap IPD di Selangor. Saya yakin usaha ini akan bergema di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, Jais menyerbu DUMC selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan jam 9 malam, seseorang mengadakan pengucapan awam yang diselitkan perkataan al-Quran dan wujud bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.-hmetro

No comments:

Post a Comment