Saturday, September 17, 2011

7 beranak diami pondok kecil



PASIR MAS – Percaya atau tidak pada zaman moden sekarang ini sebuah keluarga di sini masih tinggal dalam sebuah pondok di mana dinding diperbuat daripada buluh dan lantai pula dari batang pinang.

Tetapi, itulah hakikat yang terpaksa dilalui tujuh beranak yang tinggal di pondok kecil di Kubang Agor, Tok Uban, di sini.

Pondok ini bukan sahaja kecil, malah juga bocor menyebabkan tujuh penghuninya terpaksa mencari tempat berteduh berhampiran rumah setiap kali hujan lebat.

Pasangan Mohd Rosdi Mohamad, 37, dan isteri, Zaharah Ismail, 28, serta lima anak yang masih kecil terpaksa akur dengan cara hidup mereka kerana tidak mampu membina kediaman lebih baik sejak tiga tahun lalu.

Bukan mereka tidak mahu membina rumah lebih besar dan menjanjikan keselesaan buat mereka sekeluarga, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka berbuat demikian.

Zaharah berkata, pendapatan suaminya sebagai tukang cat dengan pendapatan tidak menentu, mereka tidak mampu menyediakan rumah baru.

Menurutnya, mereka bernasib baik kerana arwah mertuanya mempunyai tanah dan membolehkan mereka anak-beranak membina pondok untuk didiami.

“Pendapatan suami sebanyak RM300 sebulan hanya cukup menampung keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak sahaja.

“Itu pun kalau dikira betul-betul, memang tidak mencukupi untuk membiayai anak masih kecil dan bersekolah, tetapi saya terpaksa berjimat,” katanya yang tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil.

Zaharah berkata, kesempitan hidup memaksa mereka berteduh di pondok kecil yang jarang dihuni masyarakat hari ini.

Menurutnya, walaupun pondok ini terlalu kecil dan daif, mereka tiada pilihan sehingga terpaksa bersesak dengan lima lagi masing-masing berumur 10 hingga dua tahun.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik dua daripada tiga anak yang bersekolah, Norzainawati Mohd Rosdi, 10, dan Mohd Khairul Mohd Rosdi, 8, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum, di sini turut menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) bagi menampung bayaran yuran persekolahan dan pakaian sekolah.

Zaharah berkata, mereka tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini, tetapi ada pihak datang melihat keadaan pondoknya.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

“Saya tidak pasti pihak mana yang datang, tapi sudah beberapa kali mereka tampil menanyakan keadaan kediaman kami,” katanya.

Menurutnya, kisah hidup mereka pernah terpampang di dada akhbar, tetapi tidak pasti akhbar mana kerana hanya dimaklumkan jiran-jiran.

Zaharah juga menjelaskan pondok kecil itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan bergantung kepada sambungan wayar elektrik yang diambil dari rumah emak saudara kepada suaminya itu.

Dia berharap sekiranya ada pihak bertanggungjawab dapat tampil menghulurkan bantuan bagi membina rumah baru yang menjanjikan lebih keselesaan buat mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment