Saturday, September 17, 2011

Derita 3 beranak tunggu bantuan



KUALA KRAI - Ungkapan ‘Rumahku Syurgaku’ tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang ibu tunggal di Kampung Bukit Langsat, dekat sini sejak tinggal di rumah peninggalan ayahnya lebih 10 tahun lalu.

Selain dinding berlubang dan reput dimakan anai-anai, bumbung rumah didiami ibu tunggal terbabit, Rohana Ariffin bersama dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu juga banyak yang bocor.

Rohana, 28 berkata, biarpun tidak selesa terutama ketika hujan, dia tidak mempunyai pilihan selain terus mendiami rumah usang itu bersama dua anaknya disebabkan kesempitan hidup.

Katanya, selepas kehilangan suami dua tahun lalu, dia bergantung kepada pendapatan RM18 sehari sebagai pekerja kilang papan untuk sara hidup termasuk belanja sekolah anaknya.

“Kalau hujan waktu malam, saya serta anak-anak tidak ada tempat nak tidur dan terpaksa berjaga kerana bumbung bocor dan seluruh rumah dibasahi air.

“Dengan pendapatan sebanyak itu (RM18 sehari), usahkan nak baiki rumah, nak tampung belanja seharian dan anak sekolah pun tak cukup,” katanya, di sini, semalam.

Rohana berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu bagi meringankan bebannya menyara diri dan anak-anak namun ditolak.

“Selama ini saya tidak pernah terima apa-apa bantuan dan bila cuba mohon dengan JKM, mereka kata tak layak sebab saya muda dan masih boleh bekerja.

“Kenapa tak ambil kira saya orang miskin, bahkan rumah ini dulu pun asalnya arwah ayah saya terima bawah bantuan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin),” katanya.

Rohana bagaimanapun bernasib baik apabila masalah bumbung rumahnya bocor menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Mohd Fadhli Yahya yang sudi menghulurkan sumbangan peribadi.

Mohd Fadhli diwakili Setiausaha JKKKP Tanpa Mukim Dun Mengkebang, Zamzuri Ismail berkata, bantuan bagi menukar bumbung rumah itu diharap dapat memberi sedikit keselesaan kepada Rohana sekeluarga.

“Beliau (Mohd Fadhli) juga berharap, keluarga ini dapat diberikan keutamaan jika ada bantuan disalurkan mana-mana agensi kerajaan di kawasan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment