Tuesday, October 11, 2011

1,000 penagih kunjungi Klinik Care & Cure 1Malaysia




1,000 penagih kunjungi Klinik Care & Cure 1Malaysia

GEORGETOWN - Kira-kira 1,000 penagih menerima rawatan di Klinik Care & Cure 1 Malaysia, kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak dibuka Julai lalu.

Pengarah AADK Pulau Pinang, Siti Rohani Ahmad berkata, semua penagih yang datang secara sukarela itu diberi rawatan mengikut kesesuaian waktu masing-masing melalui pendekatan baru ‘bebas keluar masuk’ dan tidak lagi berpagar seperti pusat serenti.

Beliau berkata, klinik itu menggantikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Mertajam berfungsi sebagai hab untuk rawatan dan pusat rujukan bagi memenuhi keperluan penagih.

“Konsepnya juga lebih bebas, tiada pagar besi yang tinggi seperti yang selalu kita lihat di pusat serenti malah pengawal keselamatannya juga tidak memakai pakaian seragam.

“Klinik ini dibuka tujuh hari seminggu dan beroperasi 24 jam. Ia dikunjungi pesakit secara sukarela iaitu kepada mereka yang ingin membaiki kehidupan baru setelah terjebak dengan dadah. Ia menyediakan beberapa pakej rawatan untuk pilihan penagih,” katanya selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada media di pejabatnya semalam.

AADK turut mengendalikan Cure & Care Service Centre yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau dan Kampung Selamat manakala Caring Community House di Jalan Scotland dan Pinang Tunggal.

“Semua pusat khidmat ini berperanan membantu memulihkan penagih menerusi pelbagai program antaranya ceramah serta memujuk agar meninggalkan tabiat lama,” katanya.

No comments:

Post a Comment