Tuesday, October 11, 2011

Ananda nafi berlaku salah laku pembelian Aircel di India



KUALA LUMPUR 10 Okt. - Maxis Communications Bhd. (Maxis) yang dimiliki oleh tokoh korporat terkemuka T. Ananda Krishnan menafikan sekeras-kerasnya berlaku sebarang salah laku dalam pembelian Aircel Ltd. di India pada tahun 2006.
Maxis dikaitkan dengan tindakan oleh pihak berkuasa India, Biro Penyiasatan Pusat (CBI) mendakwa bekas Menteri Persekutuan, Dayandhi Maran dengan konspirasi jenayah, penyelewengan dan rasuah berhubung dakwaan membantu memberikan lesen telekomunikasi semasa beliau menjadi Menteri Telekomunikasi antara Februari 2004 dan Mei 2007.
Maxis dalam kenyataan di sini berkata, pengambilan alih Aircel adalah transaksi komersial, transaksi setaraf antara penjual dan pembeli yang sanggup, malah Maxis telah membayar pada harga yang dituntut oleh penjual, Siva Ventures Limited (Siva).
Selain itu, Maxis baru-baru ini telah berjaya mempertahankan prosiding timbang tara antarabangsa terhadapnya oleh bekas pemilik Aircel, Siva, di mana tuntutan terhadap Maxis ditolak secara keseluruhannya.
Maxis berkata, pihaknya masih belum menerima Laporan Maklumat Awal (FIR) tersebut tetapi memahami bahawa syarikat tersebut bersama beberapa pihak yang lain telah dituduh atas dakwaan paksaan dan rasuah.
"Maxis maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Biro Siasatan India (CBI).
"Walaupun kecewa terhadap FIR yang difailkan namun kami tetap memberi kerjasama penuh kepada CBO kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak benar," katanya.
Tambahnya, Maxis kekal komited terhadap pasaran telekomunikasi di India yang mana sejumlah lebih AS$8 bilion telah dilaburkan sejak mengambilalih Aircel.Ia kini mempunyai pelanggan seramai lebih daripada 50 juta orang.
Sementara itu Dow Jones dalam laporannya memetik jurucakap CBI, Dharini Misra sebagai berkata, selain mendakwa Maran, CBI semalam turut menfailkan FIR untuk memulakan siasatan rasmi terhadap abang Dayanidhi Maran yang merupakan Pengerusi Sun TV Network Ltd. (Sun TV), Kalanidhi serta T. Ananda Krishnan.
Dakwaan yang sama juga difailkan terhadap Sun TV, Astro All Asia Networks PLC, dan Maxis serta eksekutif kanan Maxis, Ralph Marshall, katanya.
Dakwaan itu membawa hukuman penjara minimum selama enam bulan sehingga lima tahun dengan dikenakan denda.
Maran merupakan menteri persekutuan kedua yang meletakkan jawatan dalam tempoh kurang setahun selepas bekas Menteri Telekomunikasi, Andimuthu Raja didakwa mengenai peranan mereka terhadap peruntukan lesen dan khidmat telekomunikasi generasi kedua.
Maran menjadi tumpuan selepas media tempatan melaporkan bahawa beliau memberi kelebihan kepada syarikat telekomunikasi tidak disenaraikan iaitu Aircel Ltd. semasa menjadi menteri.
CBI sejak itu telah memberitahu Mahkamah Agung, Maran telah memainkan peranan dalam memaksa pemilik Aircel untuk menjual kepada Maxis pada 2006.
Aircel pada waktu itu dimiliki oleh pelabur C. Sivasankaran, yang tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

No comments:

Post a Comment