Oleh : Wartawan Sinar Harian
SUBANG JAYA – Agak mengejutkan, kajian dilakukan Transparensi Antarabangsa-Malaysia (TI-M), menunjukkan generasi baru di Malaysia suka pada rasuah.
Timbalan Presidennya, Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kajian ke atas 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas menunjukkan hampir 70 peratus pelajar dan penuntut universiti sedia menerima rasuah.
“Saya bimbang dengan situasi ini. Mereka mengetahui ia adalah jenayah. Malah, masyarakat pun sedar mengenainya, namun yang menjadi persoalan, kecenderungan menerima rasuah tidak jadi kesalahan.
“Bagi mereka, rasuah adalah amalan biasa dan diperlukan dengan alasan. Ia adalah pelincir untuk memudahkan urusan seharian,” katanya di Forum Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Barometer Rasuah (CB) di Subang, semalam.
Menurutnya, rakyat Malaysia dan pemerintah seolah-olah memandang ringan mengenai masalah ini sedangkan kedudukan negara ini telah meningkat empat tangga pada 2011 dari 56 pada tahun lalu.
“Jika dibuat perbandingan dengan 183 buah negara, CPI Singapura di tangga kelima selepas New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden. manakala di Asean, negara itu berada tempat pertama dengan 9.2 mata sedangkan Malaysia di tempat ketiga, dengan 4.3 mata.
“Kita patut mencontohi negara tersebut. Jika tidak kepercayaan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhakis dan patut mengambil pengajaran daripada negara Islam seperti Syria, Pakistan, Iraq, Sudan, Nigeria dan Somalia berada di tangga ke-100 atas serta terakhir,” katanya.
Beliau berkata, 49 peratus masalah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan, agensi penguat kuasa dan politik wang.
Malah, katanya, ‘ibu rasuah’ dilakukan ahli politik dan satu daripada sembilan menunjukkan mereka yang telah menerima rasuah terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Kerajaan dan pembangkang jangan asyik cakap serta beretorik sepanjang masa hendak cegah rasuah.
“Mereka perlu bertindak mena-nganinya. Jika tidak kredibiliti mereka di mata rakyat akan terjejas. Malah, kerajaan yang ada sekarang, jika tidak mahu berubah, tidak mustahil akan diubah oleh rakyat,” katanya.
Untuk memastikan keberkesanan pencegahan, katanya, SPRM perlu bebas daripada pengaruh politik dan diletakkan di bawah Parlimen.
Generasi baru suka rasuah - Nasional - Sinar Harian:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment