Friday, December 2, 2011

NFC: Jingga 13 kecewa, dakwa konspirasi ‘bersihkan’ Shahrizat, keluarga

December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Jingga 13 amat kesal dengan kenyataan polis semalam bahawa siasatan awal mendapati tiada unsur pecah amanah jenayah dalam kes melibatkan skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ia juga mendakwa wujud konspirasi mahu menyelamatkan Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet, dan keluarganya.

Pertubuhan tidak formal itu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkenaan pembelian kondominium mewah di Bangsar menggunakan dana projek itu dan kemudian kes itu dipindahkan kepada polis.

Ketua Koodinator Jingga 13 Fariz Musa (gambar) berkata, kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam kelihatan tergesa-gesa dan terlalu ‘pantas’ sedangkan siasatan masih di peringkat awal.

“Kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar ternyata bertujuan untuk membersihkan Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya dengan skandal yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM13.8 juta yang secara jelas menyimpang daripada matlamat asal pelaksanaan projek lembu fidlot kebangsaan yang bukan sahaja gagal terhadap objektif asal, malah diseleweng dengan membeli kondominium mewah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, Khalid berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

“Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini,” katanya.

Fariz yang juga pemimpin PKR berkata, kenyataan itu bermakna ia menjadi satu teladan dan rujukan kepada sesiapapun bahawa membeli apa jua dengan menggunakan wang rakyat bukan berasaskan matlamat dan tujuan asal sesebuah projek bukan satu kesalahan dan pecah amanah jenayah tetapi ianya adalah “halal”.

“Jingga 13 telah menjangkakan lebih awal lagi apabila berlaku ‘tarik tali’ dalam aduan yang telah dibuat oleh Jingga 13 pada 10 November kepada pihak SPRM di mana pihak SPRM telah menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis.

“Malah sewaktu pihak Jingga 13 dipanggil untuk diambil keterangan dan soal siasat oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM , mereka menyatakan tiada tercatat pembelian kondominium dalam akaun NFC,” kata beliau.

Sedangkan katanya, Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami Shahrizat telah mengakui bahawa membeli dua unit kondominium One Menerung RM13.8 juta dan Jingga 13 juga turut membuat aduan kepada pihak polis pada 22 November lalu dengan merujuk kepada kenyataan oleh beliau.

“Satu pencanggahan yang ternyata membuktikan ada usaha dibuat bagi tujuan ‘menyelamatkan’ Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya.

“Jingga 13 percaya bahawa ada satu konspirasi yang terancang dilaksanakan bagi tujuan untuk membersihkan imej, kredibiliti dan integriti Datuk Seri Sharizat Jalil yang juga merupakan Ketua Wanita Umno dalam suasana persidangan agung Umno yang sedang berlangsung sekarang dengan keluarnya kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara tersebut,” katanya.

Oleh itu soal beliau, kenapa terlalu awal kenyataan tersebut dilakukan sedangkan masih belum “di akhir siasatan?”

“Jingga 13 yakin kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara tersebut akan dipandang sinis dan prejudis oleh seluruh rakyat seolah-olah pihak polis yang merupakan badan penguasa undang-undang yang akan bertindak untuk ‘menyelamat dan membersihkan’ menteri dan kroni mereka dari didakwa dan dihadap ke muka pengadilan demi survival parti pemerintah Umno,” katanya lagi.

Main - Bahasa - NFC: Jingga 13 kecewa, dakwa konspirasi ‘bersihkan’ Shahrizat, keluarga @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment