Sunday, December 25, 2011

Gesa baiki jambatan gantung

Gesa baiki jambatan gantung
KUALA KRAI - Penduduk empat kampung di Manek Urai, dekat sini, meminta pihak berkenaan membaiki segera jambatan gantung menghubungkan mereka dengan Manek Urai Baru yang runtuh sejak lebih sebulan lalu.

Menurut penduduk, jambatan itu amat penting terutama pada musim persekolahan kerana menjadi laluan utama pelajar yang bersekolah di Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

Seorang penduduk, Hamzah Jusoh, 43, berkata, tanpa jambatan gantung itu, pelajar dari kampung terbabit terpaksa menggunakan jalan utama Kuala Krai-Gua Musang untuk ke sekolah.

“Kami sebagai ibu bapa tidakk mahu perasaan bimbang setiap kali anak pergi dan balik sekolah seperti sebelum jambatan gantung ini dibina dulu berulang.

“Selain berisiko kemalangan kerana jalan besar itu sentiasa sibuk, pelajar juga mungkin dikenakan saman sebab ramai yang menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya di sini, semalam.

Jambatan gantung sepanjang kira-kira 200 meter merentangi Sungai Sok itu runtuh selepas wayar rod di kiri dan kanan jambatan berkenaan putus pada kejadian 16 November lalu.

Jambatan dibina Skuadron Ke-7 Rejimen Askar Jurutera Diraja di bawah projek Tentera Bersama Rakyat (TBR) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Manek Urai, Julai 2009 lalu.

Seorang lagi penduduk, Mohamed Abdul Razak, 58, berkata, selain pelajar, jambatan juga digunakan penduduk untuk berulang-alik membeli barang dapur, rawatan perubatan dan solat Jumaat di Manek Urai Baru.

“Saya harap pihak berkenaan ambil perhatian serius dan beri keutamaan kepada kerja membaiki kerosakan jambatan gantung ini demi kemudahan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kam­pung Persekutuan (JKKKP) Mukim Manek Urai Selatan, Che Din Noh berkata, kakitangan Jabatan Pemba­ngunan Persekutuan (JPP) sudah meninjau kerosakan pa­da jam­batan ber­kenaan.

“Kos membaiki mungkin tinggi kerana selain wayar rod, papan lantai jambatan juga perlu diganti baru sebab yang lama tercabut selepas kejadian dan dihanyutkan air sungai.

“Sejak siap dibina Julai 2009 lalu, sudah banyak peruntukan disalurkan untuk naik taraf jambatan ini seperti pembinaan laluan bersimen dan membaiki cerun sungai,” katanya. Gesa baiki jambatan gantung - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment