Sunday, December 25, 2011

Jenazah selamat dikebumikan

Jenazah selamat dikebumikan
PASIR MAS – Adun Tendong, Dr Muhammad Md Daud, 64, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Perangkap, Bunut Susu, jam 12.50 malam, semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Wahidah Nik Abdullah, 51, dan enam anak berumur 16 hingga 26 tahun.

Wahidah berkata, arwah suaminya sempat tidur beberapa jam dan bangun semula kerana menyambut kepulangan anak perempuannya dari Kuala Lumpur.

“Dia mengadu sesak nafas dan saya sempat mengambil minyak angin dan melulurkan belakangnya, namun selepas arwah batuk beberapa kali, dia tiba-tiba rebah atas katil,” katanya, semalam.

Menurutnya, arwah suaminya tidak mempunyai sebarang penyakit, meninggal sejurus selepas bersama anak-anak pada malam itu.

Wahidah berkata, arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kerana sentiasa aktif berkhidmat kepada rakyat di Tendong.

Allahyarham sempat meluangkan masa bersama penduduk kawasan itu ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Haji Daud KampungPerangkap, selepas solat Isyak, semalam.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Tendong ketika pilihan raya umum ke 12, pada 2008 lalu selepas mengalahkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Fauzi Mohamad. Allahyarham merupakan anak jati Pasir Mas, pernah memegang jawatan sebagai anggota Majlis Syura Dewan Ulama Pas Pusat dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, ibunya, Hanimah Abd Rahman, 82, berkata, tidak sangka anak sulung daripada sembilan beradik itu, meninggal dulu.

“Selepas solat Isyak semalam, arwah datang ke rumah, kemudian memotong bubur Asyura dan mengagihkannya kepada saudara-mara di sini,” katanya.

Menurutnya, memandangkan rumahnya dengan rumah arwah terletak bersebelahan, arwah sentiasa meluangkan masa bersama setiap kali selepas menunaikan solat di Masjid Haji Daud Kampung Perangkap.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Mohd Nasaruddin Daud berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kematian Allahyarham, Isnin ini.
Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap jam 2 petang semalam.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa; Exco Kerajaan Kelantan yang juga abang iparnya, Datuk Nik MohdAmar Nik Abdullah dan Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad. Jenazah selamat dikebumikan - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment