Friday, December 23, 2011

Mangsa kemalangan Genting Sempah rayu bantuan

BALING - Seorang mangsa kemalangan bas melibatkan rombongan Belia 4B dari Kampong Baru, Siong, Baling pada 29 Oktober 2010, merayu pihak yang bersimpati agar menyumbangkan sebuah motosikal beroda tiga untuk memudahkannya bergerak.
Mohd. Adib Ramli, 21, yang kudung kedua-dua belah kakinya akibat kemalangan itu, mengharapkan sumbangan kenderaan itu supaya lebih mudah baginya bergerak terutama ke masjid dan ke kelas mengajar al-Quran kepada kanak-kanak di Kampung Baru Siong.
Remaja itu yang mendapat bantuan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak November tahun ini, turut berharap agar jumlah itu ditambah kepada RM300 sebulan.
Ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Pokok Setol, Siong, Mohd. Adib berkata, kaki palsu yang disumbangkan kepadanya tidak begitu selesa digunakan.
"Saya lebih selesa tanpa kaki palsu itu kerana saya memerlukan bantuan untuk memakainya. Jika tiada sesiapa di rumah saya tidak mampu memakainya sendiri”, jelasnya.
Dalam kejadian itu, bas yang membawa peserta rombongan Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, menyebabkan tujuh daripada mereka maut di tempat kejadian, lebih 15 mangsa cedera dan dua parah termasuk Mohd. Adib yang kehilangan kedua-dua kaki.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Adib di talian 019 4032 126 atau melalui akaun Maybank 162076587136 atas nama Mohd. Adib. - BERNAMA
Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment