Wednesday, December 14, 2011

Ibu tunggal hidup daif

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD


Beginilah keadaan dapur rumah Maryam Mat Deris yang hidup dalam serba kedaifan bersama dua anaknya di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu.


KOTA BHARU 13 Dis. - Bayangkan jika anda tinggal di rumah tanpa bekalan elektrik yang dibina di kawasan berpaya dan sentiasa bergoyang apabila angin bertiup kencang.

Lebih parah jika anda seorang wanita dan terpaksa menghadapinya seorang diri bersama dua anak yang masih kecil.

Itulah yang terpaksa ditempuhi Maryam Mat Deris, 45, bersama anaknya, Mohd. Suhaimi Napi, 15, dan Nordiana Husin, 2, dari Kampung Pulau Gajah di sini apabila terpaksa menahan takut tinggal di rumah berusia lebih 20 tahun itu.

Menurut Maryam, tanah di sekeliling rumahnya sentiasa menakung air dan apabila hujan lebat ia boleh naik sehingga ke paras pinggang dan mengambil masa beberapa hari untuk surut.

"Arwah ibu yang bina pondok ini untuk saya dan keluarga selepas tempat tinggal kami di Pantai Sabak Tengah dihakis ombak. Ia pernah roboh sebelum didirikan semula dan sejak itu apabila angin kencang saya akan ketakutan kerana bimbang ia roboh semula.

"Seekor ular besar juga pernah masuk melalui lubang lantai dan tidur bersama Mohd. Suhaimi. Kami hanya sedar pada waktu pagi ketika hari sudah cerah, mujurlah ia keluar sendiri tanpa mengapa-apakan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Maryam berkata, dia hanya menggunakan lilin untuk menerangi rumah itu pada waktu malam dan menumpang paip jiran yang disambung ke rumahnya untuk bekalan air.

Dia yang menghidap penyakit batuk kering ditinggalkan tanpa khabar berita oleh suami keduanya, Husin Othman hampir dua tahun lalu dan sejak itu terpaksa bergantung kepada belas ihsan kakaknya untuk makan dan minum.

"Kami makan seadanya, kalau ada beras yang dihantar kakak, maka adalah, dapat makan sekali sehari pun saya amat bersyukur kerana saya sendiri tak mampu bekerja," katanya.

Tidak hairanlah Mohd. Suhaimi kelihatan sangat kecil berbanding usianya dengan mata kekuningan dan tubuh cengkung.

Dia hanya belajar setakat darjah dua dan tidak pandai membaca, sama seperti ibunya.

Maryam sebenarnya mempunyai sembilan lagi anak dengan arwah suami pertamanya.

Namun akibat kemiskinan, lima daripadanya telah diserahkan kepada keluarga angkat tanpa sempat dibawa pulang ke rumah selepas bersalin di hospital.

"Usia mereka sekarang antara lapan hingga 13 tahun. Pernah dua daripada mereka dibawa pulang berjumpa saya dahulu, namun saya sudah tidak ingat yang mana satu. Nama pun saya tidak tahu. Biarlah mereka hidup bahagia dengan keluarga angkat," luah wanita malang ini.

Katanya, kesemua anak yang dipeliharanya sendiri hanya mampu belajar setakat sekolah rendah sahaja.

Dua anak perempuannya berusia 18 dan 19 tahun sudah berkahwin manakala dua anak lelakinya yang berusia 17 dan 24 tahun pula bekerja sebagai buruh.

"Tetapi mereka sudah lama tidak pulang atau menghantar duit, sebab itu saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu saya membina rumah di tempat lain dan menyekolahkan semula Mohd. Suhaimi agar nasib malang kami ini akan berakhir,"katanya.

Utusan Malaysia Online - Timur:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment