SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan paraquat, racun rumpai toksik yang boleh membunuh serta mengawal penyeludupannya ke negara ini memandangkan kesan serius bahan itu ke atas kesihatan dan alam sekitar.
Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, Paraquat bukan sahaja beracun apabila disedut tetapi juga apabila bersentuh dengan kulit dan jika ditelan.
Beliau berkata, kesan keracunan ini amat tinggi dan boleh menyebabkan kekurangan antidot yang boleh membawa kepada masalah kesihatan serius dan kematian akibat daripada pendedahannya.
“Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini dan menjadi penyebab masalah kesihatan yang akut.”
“Ia turut memberi kesan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi mencemarkan air bawah tanah.
Katanya, Jawatankuasa Kesihatan Perak yang membuat rumusan dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.
Pada Ogos 2002, Kerajaan Malaysia mengumumkan niatnya untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun dan bagaimanapun pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran.
“Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?”
“Banyak negara termasuk Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan. Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC),” katanya.
Bagaimanapun katanya, pihaknya menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.
Mohamed berkata, buat masa sekarang petani Malaysia, pekebun kecil dan syarikat perladangan Malaysia perlu dididik mengenai bahaya Paraquat dan bahan kimia pertanian yang lain.
“Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi serta menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai,” katanya.
Haramkan Paraquat, kawal penyeludupannya - Nasional - Sinar Harian:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment