Wednesday, December 14, 2011

Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah

Kosmo! Online - Negara:



TUANKU Abdul Halim menandatangani surat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 ketika Istiadat Khas Mesyuarat Raja-Raja ke-227 sambil diperhatikan Najib (kiri) di Istana Negara, Jalan Duta semalam.


KUALA LUMPUR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah melafaz sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini semalam.

Ia merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Oktober lepas untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 kelmarin.

Istiadat semalam merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar yang mula beroperasi pada 15 November lepas.

Upacara bermula pada pukul 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Seri Paduka di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim yang memakai pakaian Diraja Kedah yang dikenali sebagai "Sikap" yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tengkolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.

No comments:

Post a Comment