Wednesday, December 14, 2011

Anggota polis, buruh didakwa lakukan rompakan bersenjata

MARANG 13 Dis. - Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap sebuah kedai emas pada hujung bulan lalu.

Azizan Shaari, 28, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dan buruh, Jeffridin Manan, 31, didakwa melakukan rompakan tersebut di Kedai Emas Swee Heng, Lot 9160 Wakaf Tapai di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 28 November lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, semasa melakukan rompakan, Azizan didakwa melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata jenis revolver dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai tersebut, Fong Swee Heng, 48.

Jeffridin pula didakwa bersama-sama Azizan melakukan rompakan tersebut dengan mempunyai pengetahuan bahawa Azizan mempunyai sepucuk pistol revolver dan telah melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai emas berkenaan.

Azizan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala Jeffridin didakwa di bawah Seksyen 3A akta sama, masing-masing dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh-tertuduh boleh dihukum mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak dibenarkan diikat jamin.

Majistret Nor Azizah Yusof kemudian menetapkan 12 Februari tahun depan sebutan semula kes itu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu laporan balistik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Nazri dan Masriwani Mahmud.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment