KUALA LUMPUR 13 Jan. - Akibat mengelak daripada menerima dokumen permohonan bagi tindakan menghina mahkamah yang cuba diserahkan sebanyak tujuh kali, penulis blog yang juga ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amizudin Ahmat perlu hadir ke Mahkamah Tinggi di sini untuk menjawab tuduhan itu.
Prosiding komital untuk menghantar Amizudin ke penjara itu dikemukakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim melalui peguam, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Pada 21 November 2011, Rais memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Amizudin, 43, berhubung penghakiman oleh mahkamah tersebut.
Rais, 70, memfailkan permohonan itu kerana mendakwa Amizudin telah melanggar sebahagian perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah beliau menerusi satu artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Menteri Kabinet yang berkhidmat selama 38 tahun itu memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, 31 Januari tahun lalu.
Rais dalam pernyataan tuntutannya, menyatakan, pada 28 Disember 2010, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel bertajuk Hei Pak Menteri...mana mau lari...
Pada 19 Julai tahun lalu, Rais memenangi saman itu dan penulis blog terbabit diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri tersebut. Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais.
Dalam prosiding hari ini, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Hakim Zabariah, berhubung cubaan yang dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan dokumen permohonan tersebut dapat disampaikan kepada lelaki itu.
''Pihak kami membuat tujuh kali cubaan untuk menyerahkan kausa permohonan berkenaan di alamat kediamannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang namun tidak berjaya, iaitu pada pukul 6.30 petang, 25 November tahun lalu juga pada pukul 9.30 pagi dan 4 petang keesokannya.
''Seterusnya pada pukul 11.15 pagi dan 6.15 petang, 29 November juga pada pukul 8.45 pagi, esoknya selain pukul 12 tengah hari, 7 Disember tahun lalu,'' kata beliau.
Pihaknya juga, ujar Muhammad Shafee, telah membuat temu janji dengan firma guaman yang mewakili Amizudin untuk dokumen itu disampaikan kepadanya pada 19 Disember 2011, namun dia gagal hadir.
Usaha penyampaian, menurut Muhammad Shafee, diteruskan lagi dalam episod terbaru pada 11 Januari lalu ketika Amizudin menghadiri prosiding rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Zabariah.
''Ketika itu peguamnya memohon rayuan itu ditangguhkan sehingga 18 Januari ini atas alasan peguam berkenaan tidak sihat. Kami cuba menyerahkan kausa permohonan tersebut kepadanya, namun Amizudin langsung tidak menghormati proses mahkamah,'' kata Muhammad Shafee.
Kata beliau, pihaknya akan cuba sekali lagi untuk menyerahkannya pada tarikh tersebut.
Sekiranya masih gagal, Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan mengemukakan tindakan menghina mahkamah yang baharu terhadap penulis blog itu.
Hakim Zabariah akan mendengar permohonan tersebut pada 2 Februari ini.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment