January 14, 2012
PARIT BUNTAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesemua aset Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dibekukan sehingga siasatan pihak berkuasa berhubung kontroversi yang menyelubungi projek lembu daging itu selesai.
Sehubungan itu, perjalanan projek tersebut akan diawasi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai isu NFC dan keputusan Ketua Wanita Umno itu bercuti adalah "keputusan terbaik."
"Ya, saya sudah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan (pergi) bercuti adalah keputusan terbaik untuk membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang rapi," katanya lagi.
Projek itu yang mendapat dana RM250 juta daripada kerajaan diuruskan oleh keluarga Shahrizat dengan suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan pengerusi eksekutifnya.
Semalam, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya konsisten mahu kepimpinan Najib membekukan segala operasi dan aset NFC.
Sehubungan itu tegas Rafizi, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu mengambil tindakan itu dan ia menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat berbanding keputusan Shahrizat mengambil cuti tiga minggu.
"Bagi saya, sebagaimana kami telah katakan dari dahulu lagi, kami konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan harus membekukan aset NFC sementera siasatan dijalankan, harus menghentikan operasi NFC dan menghentikan sebarang bentuk bayaran dan menghalang
NFC daripada membuat sebarang keputusan-keputusan penting.
"Soal Datuk Seri Shahrizat mengambil cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siastaan dijalankan, ia adalah perkara kedua, bukan keputusan signfikan," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Kata beliau, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan membekukan dana yang disalurkan sebab ia membabitkan wang rakyat dan kepentingan nasional.
Kelmarin, Shahrizat mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai hari ini daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ketua Wanita Umno itu berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataannya Shahrizat berkata: "Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai NFC di mana suami saya
Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif."
NFC ialah projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.
Masalah berkenaan projek itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan akhir tahun lalu.
Ekoran laporan itu, kepimpinan PKR dalam pendedahan bersiri sejak November lalu mendakwa wujud unsur salah guna dana RM250 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada NFC.
Beberapa pemimpin PKR turut meminta Shahrizat memikul tanggungjawab selaku anggota Kabinet dan melepaskan jawatannya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment