Saturday, January 14, 2012

Ibrahim Ali tawarkan hadiah sebulan gaji buru pengebom


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Sehari selepas polis menawarkan hadiah RM10,000 kepada pemberi maklumat sehingga tertangkap pihak bertanggungjawab dalam insiden letupan pada perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali tampil dengan inisiatif sama.

Beliau menawarkan gajinya sebulan sebagai Ahli Parlimen yang berjumlah RM6,500 kepada sesiapa yang dapat membantu polis mencari dalang di sebalik letupan bom sehingga mencederakan orang ramai dan merosakkan beberapa buah kenderaan di sekitar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.

"Saya mengalu-alukan tawaran polis sebanyak RM10,000. Namun begitu, bagi membantu usaha pihak berkuasa, sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai kejadian letupan bom buatan sendiri di mahkamah Isnin lalu, saya turut menawarkan sebulan gaji pokok Ahli Parlimen sebagai tambahan kepada tawaran tersebut.

"Semoga tawaran tambahan daripada saya ini menjadi rangsangan kepada sesiapa yang boleh membantu menangkap mana-mana individu atau kumpulan yang bertujuan mahu menghancur keamanan serta keselamatan rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepadaUtusan Malaysia di sini, hari ini.

Isnin lalu tiga letupan bom buatan sendiri berlaku di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika orang ramai memenuhi kawasan tersebut untuk mendengar keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Ketiga-tiga bom itu disembunyikan di dalam kon keselamatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dipercayai bagi mencetuskan keadaan huru-hara jika keputusan mahkamah pada hari berkenaan tidak berpihak kepada Anwar.

Dalam perkembangan berasingan, Ibrahim berkata, penghinaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengeluar ungkapan 'kepala otak kau' langsung tidak menjejaskan negarawan itu.

Katanya, siapa dan apa jasa Azmin kepada Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir. Bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja disanjungi rakyat sendiri, malah dihormati masyarakat dunia kerana jasanya, khususnya negara membangun dan Islam.

"Kenyataan Azmin itu memberi makna dia sebenarnya tiada otak. Inikah budi pekerti seorang yang berhasrat mahu mengambil alih pentadbiran negara sehingga sanggup menghina negarawan seperti Dr. Mahathir yang tidak ternilai jasanya kepada negara? Apa jasa Azmin? Jasanya hanya menghina orang," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment