wasiat

SABAK BERNAM- Tindakan seorang anak memaklumkan mengenai kewujudan ‘wasiat baru’ bapanya menimbulkan rasa tidak puas hati ahli keluarga yang lain apabila penagihan 70 peratus harta diragui.

Salah seorang adik beradik yang telah memeluk Islam, dikenali sebagai Saiful, 34, berkata, tindakan abangnya itu menimbulkan tanda tanya ibu dan dua lagi abangnya yang sangsi akan pengagihan wasiat tersebut.

“Kami tidak kisah dapat sikit atau banyak, tetapi kami pelik dan kecewa kerana nama ibu tidak tersenarai sebagai penerima wasiat sedangkan itu adalah harta sepencarian mereka sejak berkahwin.

“Dalam wasiat sebelum ini, bapa mewariskan seluruh harta kepada ibu malah, 27 hari sebelum ayah meninggal dunia, mereka sempat menyambut ulang tahun perkahwinan mereka di rumah seorang abang kamu dan bapa ada memberitahu tiada sebarang perubahan wasiat dan bergurau mahu hidup 100 tahun lagi,” katanya.

Saiful berkata, kekecewaan mereka ditambah dengan keraguan terhadap perbezaan tanda tangan bapa pada wasiat terakhirnya dengan tanda tangan pada wasiat sebelum ini.

“Kami syak berkemungkinan tanda tangan itu dibuat bapa dalam keadaan separuh sedar atau ianya dipalsukan.

“Tiga saksi yang digunakan juga meragukan kerana dua saksi adalah dari kalangan ahli keluarga peguam itu sendiri dan seorang lagi seorang kenalan lama yang turut mengalami masalah ketagihan alkohol,” katanya.

Selain itu katanya, beberapa tindakan abangnya itu juga turut menimbulkan syak apabila dia tidak membayar bil telefon rumah hingga ia dipotong dan menyukarkan adik beradik lain menghubungi ayah.

“Bapa juga pernah memberitahu kami yang abang sudah lama tidak menunjukkan akaun perniagaan keluarga untuk beberapa bulan,” katanya.

Sementara itu, ibunya dikenali sebagai Sarima, 66, berkata, tindakan anak lelakinya itu amat mengecewakan dan dia yakin ia turut dibantu seorang lagi anak perempuannya.

“Ketika suami saya masih hidup, hubungan kami sekeluarga begitu baik, hanya selepas suami meninggal dunia, perilaku kedua-dua mereka ini berubah.

“Ternakan lembu hampir 100 ekor dan hampir 70 peratus aset tertera namanya (anak lelaki) dalam wasiat baru itu,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Sarima turut membawa permasalahan ini ke mahkamah dan berharap segalanya dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Sarima berkata, biarpun Saiful tidak lagi seagama dengannya, Saiful dan dua lagi abangnya masih melayaninya dengan baik berbeza dengan dua lagi anaknya yang berubah selepas kematian ayah mereka.

“Saya benar-benar terluka dengan sikap mereka yang berkasar dengan saya. Bukan tujuan saya mahu memburukkan anak-anak tetapi cuma berkongsi pengalaman juga menasihatkan mereka di luar sana supaya berhati-hati,” katanya.