Monday, January 16, 2012

NFC nafi guna kad kredit biaya peribadi RM600,000

SHAH ALAM - Pengurusan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) menafikan empat ahli keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil membelanjakan RM593,500 pada 2009, dengan kad kredit yang wangnya berpunca dari dana NFC, untuk tujuan peribadi.
Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh berkata, kad-kad kredit yang dimaksudkan adalah kad korporat dan bagi tujuan pembangunan bisnes.
"Tiada perbelanjaan peribadi sebagaimana didakwa. (Sebenarnya) Perbelanjaan pembangunan bisnes oleh empat pengarah menggambarkan magnitud jualan berjuta ringgit," katanya sambil menegaskan, fakta-fakta berkenaan ada pada pihak berkuasa.
Dilihat sebagai usaha memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar bertanggungjawab terhadap skandal projek ternakan lembu daging NFC, pagi tadi PKR membuat satu lagi pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana NFC.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, empat ahli keluarga Shahrizat membelanjakan RM593,500 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.
Kelmarin, Najib mengumumkan keputusan membekukan aset NFC.
Menurut Rafizi, empat ahli keluarga yang memegang jawatan pengurusan dalam NFC telah menggunakan kad kredit yang bayarannya dituntut dari NFC bagi perbelanjaan antara RM122,402 dan RM182,525 setiap seorang.
Mereka adalah suami Shahrizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail iaitu Pengerusi Eksekutif NFC, Shahinur Izmir sendiri, seorang lagi anak mereka, Wan Shahinur Izran yang memegang jawtaan Ketua Pegawai Eksekutif dan anak perempuan mereka, Wan Izzanah Fatimah, yang merupakan pengarah.
“PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih,” kata Rafizi.
Katanya, aktivis PKR akan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi mengenai perbelanjaan kad kredit itu yang didakwa melampaui batas.
Mengulas lanjut isu melibatkan NFC, Shahinur Izmir berkata, pihaknya dalam masa yang sesuai akan tampil menjelaskan dakwaan-dakwaan yang telah menjejaskan persepsi rakyat terhadap syarikat itu.
"Sebagai permulaan, tidak di mana-mana bahagian dan tidak pada bila-bila masa, Ketua Audit Negara dalam laporan 2010 menyatakan bahawa NFC berada dalam kepincangan.
"Perkataan kepincangan tidak pernah digunakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
"Jelas ini adalah satu lagi bentuk dakwaan dibuat dengan maklumat palsu dan berniat jahat," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment